Pemeriksaan ketat, jemaah haji diminta sentiasa bawa kad Nusuk

Mohd Na’im menunjukkan kad Nusuk yang perlu sentiasa dibawa jemaah haji susulan pemeriksaan ketat dilaksanakan pihak berkuasa Arab Saudi.
Mohd Na’im menunjukkan kad Nusuk yang perlu sentiasa dibawa jemaah haji susulan pemeriksaan ketat dilaksanakan pihak berkuasa Arab Saudi.
A
A
A

MAKKAH – Tindakan kerajaan Arab Saudi mengetatkan peraturan bagi membendung pelaksanaan haji tanpa visa yang sah adalah demi menjaga keselamatan, kemaslahatan dan keselesaan semua jemaah haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, sehubungan itu jemaah haji Malaysia diminta supaya sentiasa membawa kad Nusuk susulan pemeriksaan ketat dilaksanakan pihak berkuasa Arab Saudi.

Peraturan ketat ditetapkan Kerajaan Arab Saudi itu tidak membenarkan mana-mana individu tanpa mempunyai visa sah berada di Makkah ketika musim haji.

Menurutnya, keselamatan jemaah haji yang mempunyai permit sah lebih terpelihara dari segi logistik dan kebajikan lebih-lebih lagi dalam suasana sesak dengan jutaan manusia ditambah pula dengan cuaca panas.

“Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada kerajaan Arab Saudi yang telah meningkatkan kawalan ketat di semua sempadan dan juga pintu masuk Masjidil Haram bagi mengekang kemasukan individu tanpa visa haji sah.

“Kawalan ketat yang dilakukan ini turut memberi impak positif kepada jemaah haji Malaysia kerana keadaan di Masjidil Haram lebih terkawal dan perjalanan haji jemaah dapat dilakukan dengan lebih selesa dan sempurna. Insya-ALLAH,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Abraj Al Janadriyah di sini.

Beliau berkata, pihaknya difahamkan tahun ini pihak berkuasa Arab Saudi akan menghalau keluar mereka yang tidak mempunyai visa haji.

“Kesannya saya nampak kawasan agak lengang berbanding tahun lepas dengan jumlah kereta yang banyak serta ramai orang.

“Dalam pertemuan dengan jemaah haji juga mereka kata agak selesa keadaan di Masjidil Haram berbanding tahun-tahun lepas,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan Arab Saudi menguatkuasakan pemeriksaan lebih ketat kepada kesemua jemaah yang mengunjungi Masjidil Haram sebagai usaha berterusan bagi menjayakan kempen ‘Tiada Haji Tanpa Visa’ yang dilaksanakan secara tegas tahun ini.

Kawalan ketat, tapi jemaah Malaysia lega mudah masuk Masjidil Haram

Dalam pada itu, tindakan tegas dan kawalan ketat dilaksanakan pihak berkuasa Arab Saudi di sekitar kota Makkah didakwa memberi kelebihan kepada jemaah haji Malaysia dan lain-lain negara.

Normah Mat Noor dan Muhammad Fakhri
Normah Mat Noor dan Muhammad Fakhri

Jemaah haji, Muhammad Fakhri Kamarul Zaman, 34, berkata, meskipun penguatkuasaan dilaksanakan pihak berkuasa namun dia tidak pernah menghadapi masalah untuk masuk ke Masjidil Haram.

“Kawalan memang agak ketat tetapi saya tak pernah ada masalah untuk masuk ke masjid kerana ada kad Nusuk. Mereka periksa sahaja (kad Nusuk) dan boleh masuk (ke Masjidil Haram) tak ada masalah.

“Bagi saya (penguatkuasaan ketat) memudahkan jemaah sebenarnya. Kalau banding dengan tahun-tahun lepas sesak sebab ada yang masuk tanpa visa haji.

“Tahun ini walaupun kawalan ketat kita rasa macam lebih tenang. Kita tahu orang yang masuk dalam masjid tu adalah orang-orang (nak tunaikan) haji,” katanya.

Seorang lagi jemaah, Normah Mat Noor, 59, berkata, jemaah yang mempunyai kad Nusuk tidak mempunyai masalah untuk masuk ke masjid meskipun perlu melalui pemeriksaan pihak berkuasa.

“Senang sahaja masuk ke masjid walaupun polis lakukan pemeriksaan, tidaklah macam yang ditularkan (susah nak masuk Masjidil Haram).

“Bila ada penguatkuasaan lebih teratur, jemaah tidak berebut, keadaan tak sesak dan sebagainya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!