Kabinet baharu meyakinkan, segar dan menyerlah: Pas Kedah

Kabinet Malaysia 2020
Kabinet Malaysia 2020
A
A
A

ALOR SETAR - Pas Kedah menyifatkan barisan Kabinet baharu diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang semalam sebagai ‘satu saf’ yang meyakinkan, segar serta menyerlah.

Pesuruhjaya Pas negeri, Ahmad Yahaya berkata, pelantikan mereka yang bersih serta terbukti bersungguh dalam kerjaya, membangkitkan rasa gembira dan senang di hati rakyat, yang ingin semua pihak terlibat dalam pentadbiran negara berlatarkan pelbagai pengalaman dan bidang kemahiran yang bermanfaat.

Dalam satu kenyataan di sini, hari ini beliau berkata, apabila melihat kepada senarai anggota Kabinet yang dipersembahkan, segala rasa resah, gundah-gulana yang bersarang di minda rakyat selama ini terus hilang.

"Banyak pembaharuan telah dilakukan oleh Perdana Menteri ketika membentuk Kabinet dalam usaha membawa pembaharuan khususnya untuk rakyat di alaf yang mencabar ini," katanya sambil mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri.

Beliau berkata, keputusan untuk tidak melantik Timbalan Perdana Menteri buat masa ini dan pemilihan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), menempa satu sejarah baharu kepada negara.

"Lebih membanggakan apabila semua senarai Kabinet itu telah melepasi saringan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang bererti mereka tidak terlibat dengan kes rasuah dan jenayah sosial," katanya.

Dalam pada itu katanya, Pas Kedah juga mengucapkan terima kasih dan tahniah di atas pelantikan Ahli Parlimen Pendang, Awang Solahudin Hashim sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia. - Bernama

Artikel Berkaitan: