'Saya baru ambil alih platun, esoknya dah kena tembak' - Pesara tentera

Majlis Pelancaran Buku Memoir: 'Malayan and Borneo At War' berlangsung di sebuah hotel di Petaling Jaya, Kuala Lumpur pada Ahad.
Majlis Pelancaran Buku Memoir: 'Malayan and Borneo At War' berlangsung di sebuah hotel di Petaling Jaya, Kuala Lumpur pada Ahad.
A
A
A

PETALING JAYA – “Saya baru ambil alih platun itu, tak sangka pagi esoknya, saya kena tembak di paha.” Demikian luahan bekas anggota tentera, Kapten (B) Tong Lye Heng, 77, ketika mengimbau detik hitam lebih 50 tahun lalu yang tidak mungkin dilupakannya.

Menurutnya, kejadian tersebut berlaku semasa menyertai Operasi Kota di sempadan Malaysia–Thailand pada 10 Jun 1971.

“Ketika itu, saya baru mengambil alih platun daripada rakan setugas kerana dia menghadiri kursus. Pasukan saya sedang bersiap sedia untuk melakukan serangan hendap terhadap musuh, namun kami tidak menyangka telah dikesan lebih awal oleh pihak komunis.

Kisah Tong Lye Heng turut dihimpunkan dalam buku berkenaan.
Kisah Tong Lye Heng turut dihimpunkan dalam buku berkenaan.

“Apa yang sepatutnya menjadi serangan mengejut bertukar menjadi satu penyergapan balas. Dalam kekecohan itulah, saya ditembak.

“Dalam keadaan getir itu, saya masih mampu mengarahkan serangan artileri dan meminta bantuan udara daripada markas,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Buku Memoir "Malayan and Borneo At War" di sini pada Ahad.

Lye Heng menambah, beliau mengalami kecederaan parah akibat tembakan tersebut dan kesannya kekal hingga ke hari ini.

Kisah keberanian dan ketabahan Kapten Lye Heng adalah satu daripada ribuan cerita yang jarang didengar daripada wira-wira negara dan kini terkandung dalam buku berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bekas Presiden Persatuan Veteran Kaum Cina Tentera Darat Malaysia (MACVA) merangkap pengerusi penganjur majlis tersebut, Kapten (B) Datuk Lee Kwang Lock berkata, buku yang dilancarkan pihaknya merupakan rekod sejarah yang perlu dikongsikan kepada umum.

"Ia juga satu bentuk penghormatan kepada ribuan individu yang telah berkhidmat untuk negara semasa Darurat Malaya, Konfrontasi Indonesia dan Perang Menentang Pemberontakan.

“Ini bukan sekadar sebuah buku, ia adalah satu legasi. Ia memastikan pengorbanan dan perjuangan para veteran kita tidak dilupakan seiring berlalunya masa,” katanya.

Lee Kwang Lock (tengah) bersama ahli MACVA berkesempatan berkongsi mengenai buku berkenaan. Turut kelihatan Presiden MACVA Leftenan Kolonel (B) Wong Ah Jit (dua kiri).
Lee Kwang Lock (tengah) bersama ahli MACVA berkesempatan berkongsi mengenai buku berkenaan. Turut kelihatan Presiden MACVA Leftenan Kolonel (B) Wong Ah Jit (dua kiri).

Buku tersebut turut mengandungi catatan terperinci mengenai operasi ketenteraan yang dijalankan di hutan tebal dan kawasan pedalaman, di mana tentera dan anggota polis bertempur demi mempertahankan negara.

Ia juga menonjolkan peranan penting yang dimainkan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia dalam menyokong pasukan darat semasa operasi tersebut.

Beliau menyatakan, sejarah pascaperang Malaysia seringkali diceritakan melalui perspektif asing, dan Memoirs 2 berusaha membetulkan keadaan dengan mengetengahkan suara serta pengalaman tempatan.

Memoir pertama yang dilancarkan pada Mac 2020 telah membantu meningkatkan kesedaran serta mengumpul dana untuk persatuan.

Jilid kedua buku tersebut meneruskan misi sama, selain turut merakamkan satu bab penting dalam sejarah keselamatan negara melalui kacamata mereka yang pernah mengalaminya sebagai peringatan bahawa keamanan hari ini dibina atas keberanian dan perpaduan mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!