Pesara tentera maut dilanggar pacuan empat roda elak anjing melintas

KLUANG – Seorang pesara tentera maut selepas dilanggar pacuan empat roda yang mengelak anjing melintas di Kilometer 86, Jalan Kota Tinggi - Kluang, di sini, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan sekitar jam 10.28 pagi itu melibatkan motosikal jenis Suzuki Shogun 125 yang ditunggang mangsa dengan Toyota Hilux.
“Hasil siasatan awal mendapati Toyota Hilux datang dari arah bandar Kluang menghala ke Kota Tinggi. Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu itu terkejut apabila seekor anjing melintas di hadapannya.
“Toyota Hilux tersebut kemudian mengelak ke kanan sehingga memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal mangsa yang datang dari arah Kota Tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal, Hassenol Ahmad, 64, mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan serta dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) untuk rawatan.
Bahrin berkata, anak mangsa kemudian hadir ke kaunter aduan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang kira-kira jam 1.30 petang dan melaporkan bahawa bapanya telah meninggal dunia semasa dirawat di HEBHK.
Sementara itu, beliau memaklumkan, pemandu Toyota Hilux, seorang lelaki berusia 28 tahun yang beralamat di Simpang Renggam, hanya mengalami sakit di bahagian dada dan menerima rawatan di klinik swasta.
“Pemandu tersebut telah ditahan untuk siasatan lanjut. Hasil pemeriksaan ujian air kencing mendapati dia negatif dadah.
“Permohonan reman akan dibuat di mahkamah bagi meneruskan siasatan, dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

