'Saya niat menolong, tak sangka ‘pakcik’ kira wang RM3 rupanya kontraktor'

Arfa Danish tidak menyangka perbuatannya yang selalu membantu orang dalam kesusahan membawa kejutan apabila ‘pakcik tua’ dibantunya kali ini seorang kontraktor dikenali.
Arfa Danish tidak menyangka perbuatannya yang selalu membantu orang dalam kesusahan membawa kejutan apabila ‘pakcik tua’ dibantunya kali ini seorang kontraktor dikenali.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang remaja lelaki tidak menyangka perbuatannya yang selalu membantu orang dalam kesusahan membawa kejutan apabila ‘pakcik tua’ dibantunya kali ini seorang kontraktor dikenali.

Kisah bermula apabila Arfa Danish Azuan, 17, melihat seorang pakcik tua duduk termenung sambil mengira wang RM3 berseorangan di sebuah gerai di Shah Alam.

Menurutnya, Arfa Danish berasa kasihan melihat pakcik itu kelihatan seperti tidak mempunyai wang yang cukup untuk makan, lalu tanpa berlengah, dia segera menghampiri dan membelikannya makanan.

“Kejadian berlaku pada awal Februari di sebuah gerai di Seksyen 7. Ketika itu saya nampak dia tengah termenung berseorangan, sambil kira duit RM3 dan minum teh panas...ya dia nampak macam belum makan dan nampak susah.

“Jadi tanpa buang masa, saya terus hampirinya, saya tanya ‘pakcik nak makan’, dia cakap ‘nak’.

"Terus saya pergi beli mi celur untuk pakcik itu dan saya anggarkan juga umurnya mungkin dalam 64 tahun.

“Saya memang tak ada niat mahu menunjuk atau apa-apa, cuma niat nak membantu sahaja, dan saya tidak sangka juga kejadian itu direkod oleh adik saya,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Arfa Danish.
Arfa Danish.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Arfa Danish yang juga merupakan seorang pelajar di Akademi Profesional Kosas tidak menyangka video tersebut tular sehingga menyebabkan ahli keluarga dan kenalan pakcik tua itu menegurnya di TikTok.

Arfa juga menjelaskan bahawa dia kemudian mendapat tahu pakcik tersebut sebenarnya seorang kontraktor yang dikenali, setelah anak lelakinya menghubungi dan menjelaskan situasi sebenar.

“Saya juga minta maaf dekat pakcik itu, sebab tidak tahu video dan kapsyen saya mungkin buat dia malu dan sebagainya...tetapi dia okay sahaja sebab katanya dia tahu niat saya benar-benar untuk menolongnya.

“Niat saya waktu itu memang untuk tolong, sebab bila saya tengok dia, saya hanya fikir ibu bapa saya sahaja.

"Mungkin disebabkan video itu juga, ada yang cakap buruk dan sebagainya...saya tak kisah, niat hanya untuk menolong tak kisah dia miskin atau kaya.

“Bila saya tolong orang, saya harap satu hari nanti...bila saya susah ada yang akan tolong saya semula,” ujarnya.

Kata Arfa Danish, mungkin kebaikan yang dilakukan tidak mendapat balasan di dunia, tetapi dia yakin kebaikan akan dibalas dengan ganjarannya di akhirat nanti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!