Tiada kelonggaran atau pengecualian, penceramah wajib ada tauliah - Exco

JOHOR BAHRU - Setiap individu yang mahu mengadakan ceramah atau pengajian agama di negeri ini diwajibkan mendapatkan tauliah terlebih dahulu daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) tanpa sebarang kelonggaran.
Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pemantauan terhadap penceramah tanpa tauliah bukan sekadar dilakukan secara bermusim atau disasarkan kepada individu tertentu sebaliknya dilakukan berterusan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
“Tindakan ini tidak tertumpu kepada mana-mana pihak. Sesiapa sahaja yang mahu menyampaikan ilmu agama di Johor perlu ada tauliah selaras Seksyen 11, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.
“Tiada sebarang pengecualian. Awak datang ke negeri orang kenalah ikut adab dan peraturan. Bila permohonan tauliah tidak diluluskan, jangan pula marah. Saya nasihatkan semua penceramah agar bertauliah demi keseragaman dan memudahkan urusan,” katanya di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi keluarga jemaah haji Malaysia, Allahyarham Misnan Ahmad, 60, yang meninggal dunia di Tanah Suci.
Mohd Fared berkata, isu sebenar bukanlah soal tidak diberi tauliah, tetapi lebih kepada keperluan mematuhi susunan serta proses permohonan yang ditetapkan MAINJ.
Beliau turut menjelaskan, tiada sebarang senarai khas untuk penceramah diluluskan, sebaliknya ia bergantung sepenuhnya kepada penilaian panel yang ditetapkan.
“Ramai yang memang ada ilmu dan semangat berdakwah, namun prosedur tetap perlu dipatuhi. Panel MAINJ yang bertauliah akan menilai setiap permohonan berdasarkan kelayakan.
“Peraturan ini bukan hanya di Johor, negeri lain pun sama. Kalau saya ke Kelantan atau Terengganu pun ada peraturan sebegitu. Tauliah bukan boleh diperoleh secara tiba-tiba. Jangan bila nak ceramah baru mohon tauliah. Kena faham dan ikut proses yang telah digariskan,” ujarnya.
Sebelum ini media melaporkan, seorang penceramah agama ditahan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas dipercayai menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah di sebuah kediaman di Pasir Gudang pada Rabu lalu.
Pengarah JAINJ, Nasri Md Ali memaklumkan, lelaki berusia 50 tahun itu ditahan kira-kira jam 8.30 malam oleh Bahagian Penguatkuasaan JAINJ bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam.
Kes disiasat di bawah Seksyen 11 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana mengajar agama tanpa tauliah.
Nasri turut mendedahkan, nama individu itu pernah dibangkitkan dalam Mesyuarat Ahli Majlis JAINJ, termasuk menerima aduan serta keputusan daripada Jawatankuasa Tauliah untuk tindakan lanjut.
“Mengikut rekod, dia pernah ditahan atas kesalahan sama pada 2016 dan melarikan diri dalam satu serbuan pada 2020.
"Ini merupakan kali ketiga tindakan diambil ke atasnya atas kesalahan menyampaikan ceramah tanpa tauliah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

