Dua cedera terjatuh selepas diserang kera

Seekor kera berkeliaran mencari makanan di kawasan perumahan penduduk di Kuala Krai. Muhammad Afif (kanan) menerima tiga jahitan di kepala.
Seekor kera berkeliaran mencari makanan di kawasan perumahan penduduk di Kuala Krai. Muhammad Afif (kanan) menerima tiga jahitan di kepala.
A
A
A

KUALA KRAI – Dua mangsa termasuk seorang remaja lelaki cedera selepas terjatuh motosikal manakala seorang warga emas pula dimasukkan ke hospital akibat pendarahan dalam kepala kerana terjatuh akibat diserang kera liar.

Dua kejadian berasingan dalam tempoh tiga hari itu berlaku di Taman Berkat Jaya dan Kampung Kubang Lebur di sini.

Mangsa, Muhammad Afif Mohd Affandi, 16, mengalami kecederaan pada siku, bahu, pinggang dan paha, selain menerima tiga jahitan di kepala selepas motosikal yang ditunggangnya terbalik ketika cuba melarikan diri apabila diserang sekumpulan kera.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi pada Khamis lalu ketika remaja berkenaan membantu ibunya membuang sampah di tong besar yang terletak 500 meter dari rumah mereka.

“Saya nampak dari jauh ada kira-kira 10 ekor kera berkumpul.

“Masa nak lempar sampah, seekor kera besar terkam ke arah tangan saya. Saya terus pecut motosikal, tapi terlanggar seekor kera lain dan jatuh,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini pada Sabtu.

Muhammad Afif dibantu oleh seorang pemandu kereta yang membunyikan hon ketika lalu di situ sebelum dibawa pulang ke rumah oleh seorang lelaki bermotosikal.

Bagaimanapun, pelajar Tingkatan Empat itu kemudiannya dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra oleh bapanya, Mohd Affandi Ab Ghani, 59, seorang pesara kerajaan.

Menurut, anak bongsu daripada tiga beradik itu, serangan kera ke atas dirinya itu kali pertama berlaku walaupun mereka sekeluarga sudah biasa berdepan gangguan haiwan liar berkenaan sejak berpindah ke kawasan perumahan itu pada 2007.

Mangsa kedua, Zaiton Omar, 62, pula terpaksa dimasukkan ke hospital sama selama empat hari selepas terjatuh dan terhentak kepala ketika cuba menghalau sekumpulan kera yang memakan buah durian belanda di halaman rumahnya pada Selasa lalu.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, Zaiton menggunakan sebatang penyapu cuba menghalau kumpulan kera, namun seekor kera jantan bertindak agresif dan cuba menyerangnya.

“Saya terkejut dan pusing nak lari masuk rumah, tapi rebah depan pintu.

“Nasib baik sempat bangun semula dan dibantu anak hantar saya ke hospital,” katanya yang turut mengalami kecederaan di kepala kiri, siku dan lutut.

Zaiton menghidap masalah jantung dan perlu menjalani rawatan susulan berkala.

Katanya, kawasan rumah didiami sejak 1997 itu sering menjadi sasaran kera liar yang memakan buah durian belanda dan mata kucing

Malah tambahnya, haiwan liar berkenaan juga pernah menceroboh masuk ke dalam rumahnya mengambil telur ayam.

“Anak kera yang kecil masuk melalui jeriji tingkap dan ambil telur di dapur rumah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!