Penduduk Kuala Krai terancam gangguan kera liar

KUALA KRAI – Hampir 300 penduduk di Kampung Kubang Lebur, Taman Berkat Jaya dan Taman Batu Lada di sini hidup dalam ketakutan apabila diganggu puluhan kera liar hingga memaksa mereka menutup tingkap serta takut untuk menjemur kain setiap hari.
Gangguan kera terbabit disifatkan penduduk sebagai yang paling agresif tahun ini sehingga mengancam keselamatan dan menyebabkan kerosakan harta benda.
Seorang penduduk Taman Berkat Jaya, Mohd Affandi Ab Ghani, 59, berkata, sejak berpindah ke kawasan itu pada 2007 kehadiran kera bukanlah perkara baharu, namun bilangannya kini semakin bertambah dan berani.
“Kera datang dari hutan berhampiran bukan setakat koyakkan plastik sampah, malah bungkusan barang dibeli secara dalam talian pun kera buka.
“Saluran air rumah pun rosak, siling bocor sebab kera naik atas atap,” katanya ketika ditemui di kampung itu pada Sabtu.

Menurut pesara kerajaan itu, ada masanya kera boleh dilihat berkeliaran dalam kumpulan besar pada waktu pagi dan petang, malah penduduk tidak boleh meninggalkan sampah di luar atau membuka tingkap rumah sewenang-wenangnya.
Di Kampung Kubang Lebur pula, kakitangan awam, Nur Aida Bachi, 41, menyifatkan gangguan kera tahun ini sebagai yang paling teruk sepanjang lebih dua dekad menetap di situ.
Menurutnya, ketakutan untuk menjalankan rutin harian seperti menjemur kain kini menjadi kebiasaan, apatah lagi apabila haiwan liar itu sering berkeliaran terlalu dekat dengan rumah.
“Kera ini tak takut orang. Pecahkan lampu di parkir kereta, main atas bumbung, siap berbalah sesama sendiri sampai berdarah.
“Nak jemur kain pun takut dan sampah kami tidak diletakkan di luar rumah serta dibuang terus ke tempat pembuangan sampah setiap hari untuk elak kera datang,” katanya.
Nur Aida berkata, laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah dibuat dan pihak berkenaan telah pun memasang perangkap sejak dua minggu lalu.
“Namun, jumlah kera masih banyak dan terus mengganggu penduduk,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Abdullah Ibrahim, 56, turut berdepan perkara sama apabila diganggu haiwan liar terbabit.
“Kera makan telur ayam dan kacau orang ramai yang joging di kawasan ini. Sekarang bukan musim buah, jadi kera lapar dan lebih agresif.
“Kami harap lebih banyak tindakan dapat diambil segera bagi memastikan keselamatan kami terjamin,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat memaklumkan, pihaknya menerima maklumat berkaitan beberapa insiden gangguan haiwan liar di kawasan terbabit dan menjalinkan kerjasama dengan agensi berkaitan.
“Tindakan diambil oleh Perhilitan termasuk pemasangan perangkap di beberapa lokasi terjejas,” katanya.
Menurut beliau, keadaan masih dalam kawalan, namun orang awam dinasihatkan agar berwaspada dan mengelak daripada bertindak sendiri yang boleh membahayakan keselamatan.
“Sebarang kejadian perlu segera dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

