Maritim tumpas sindiket seludup burung eksotik bernilai RM100,000

Maritim Malaysia berjaya menggagalkan usaha menyeludup lebih 1,300 ekor burung eksotik dalam satu operasi bersepadu di Tanjung Labuh, di sini, pada awal pagi Jumaat. Foto Maritim Batu Pahat
Maritim Malaysia berjaya menggagalkan usaha menyeludup lebih 1,300 ekor burung eksotik dalam satu operasi bersepadu di Tanjung Labuh, di sini, pada awal pagi Jumaat. Foto Maritim Batu Pahat
A
A
A

BATU PAHAT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan usaha menyeludup lebih 1,300 ekor burung eksotik dalam satu operasi bersepadu di Tanjung Labuh, di sini, pada awal pagi Jumaat.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata, cubaan menyeludup burung ke negara jiran yang dianggarkan bernilai RM100,000 itu gagal setelah bot fiber dinaiki suspek berjaya dipintas oleh bot Maritim Malaysia kira-kira jam 1 pagi.

“Selepas ditahan dan pemeriksaan dilakukan, terdapat 114 bakul berisi burung murai batu serta murai kampung, dianggarkan melebihi 1,300 ekor, dengan kedua-dua suspek, lelaki tempatan berusia 26 dan 27 tahun, gagal mengemukakan dokumen kebenaran membawa keluar hidupan liar.

“Kedua-dua suspek dibawa ke Zon Maritim Batu Pahat untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil risikan berhubung aktiviti penyeludupan di perairan Tanjung Labuh yang dipercayai menjadi lokasi transit utama sindiket penyeludupan hidupan liar.

Mohammad Zaini berkata, cubaan penyeludupan itu dilakukan kerana terdapat permintaan yang tinggi, selain pihaknya mendapati sindiket menggunakan bot kecil pada waktu malam bagi mengaburi pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!