Sindiket seludup 1,300 burung eksotik bernilai RM100,000 tumpas

BATU PAHAT – Cubaan dua lelaki tempatan menyeludup keluar lebih 1,300 ekor burung eksotik bernilai hampir RM100,000 ke negara jiran gagal apabila bot fiber dinaiki mereka berjaya dipintas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) awal pagi Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi di perairan Tanjung Labuh di sini, kedua-dua suspek yang berusia 26 dan 37 tahun itu ditahan ketika menaiki bot dalam keadaan mencurigakan.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata, tangkapan dibuat semasa operasi bersepadu Op Jaksa, Op Toda 2/2021 dan Op Tiris 3.0 oleh peronda Maritim Malaysia.

“Pemeriksaan mendapati terdapat 114 bakul berisi burung Murai Batu dan Murai Kampung dengan jumlah melebihi 1,300 ekor.
"Suspek gagal mengemukakan dokumen kebenaran membawa keluar hidupan liar,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, nilai rampasan termasuk bot dan kesemua burung terbabit dianggarkan mencecah RM100,000.
“Siasatan awal mendapati burung-burung itu dipercayai cuba diseludup ke negara jiran yang mempunyai permintaan tinggi terhadap spesies berkenaan, khususnya untuk tujuan peliharaan dan pertandingan.
“Sindiket dipercayai menggunakan modus operandi dengan menggerakkan bot kecil pada waktu malam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Jeas beliau, kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

