Kes profil tinggi: Peguam Negara beri lampu hijau

Idrus - Foto sumber internet
Idrus - Foto sumber internet
A
A
A

KUALA LUMPUR- Peguam Negara yang baharu dilantik, Tan Sri Idrus Harun memberi lampu hijau kepada Datuk Seri Gopal Sri Ram untuk terus mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes berprofil tinggi termasuk yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Idrus ketika dihubungi pemberita berkata, arahan itu juga terpakai kepada peguam, Datuk V Sithambaram yang juga pendakwa ad hoc, serta pasukan pendakwaan yang mengendalikan kes SRC International Sdn Bhd melibatkan Najib.

Terdahulu, Sri Ram, bekas hakim Mahkamah Persekutuan yang berkhidmat sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan berkata, Idrus telah memanggil beliau untuk menyatakan ‘agar teruskan’ juga dengan pendakwaan terhadap individu berprofil tinggi yang lain.

"Ini bukan sesuatu yang baharu. Beliau (Peguam Negara) telah memanggil dan memberitahu saya agar teruskan... saya faham itu sebagai kedudukannya,” katanya kepada pemberita selepas perbicaraan rasuah Datin Seri Rosmah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Sri Ram mengetuai pendakwaan terhadap perbicaraan Najib melibatkan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy dalam perbicaraan bersama kerana mengabui laporan audit 1MDB, perbicaraan rasuah Rosmah bagi projek hibrid solar di Sarawak dan kes pengubahan wang haram melibatkan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Jumaat lepas, Hakim Mahkamah Persekutuan, Idrus dilantik sebagai Peguam Negara yang baharu menggantikan Tan Sri Tommy Thomas yang meletak jawatan.

Idrus dilantik untuk tempoh dua tahun berkuatkuasa 6 Mac.- Bernama

Artikel Berkaitan: