Cuaca panas lonjak hasil keropok keping

Antara keropok keping yang dihasilkan oleh Malini dan suaminya secara kecil-kecilan di Kampung Tanjung, Batu Rakit, Kuala Nerus.
Antara keropok keping yang dihasilkan oleh Malini dan suaminya secara kecil-kecilan di Kampung Tanjung, Batu Rakit, Kuala Nerus.
A
A
A

KUALA NERUS - Fenomena cuaca panas dan kering disebabkan Monsun Barat Daya ketika ini memberi kelebihan buat seorang pengusaha hasil laut di Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini apabila dapat meningkatkan pengeluaran.

Malini Mohamad, 40, berkata, pembuatan keropok keping secara kecil-kecilan menggunakan bahan utama daripada ikan tamban itu semakin rancak bermula April lalu.

Menurutnya, ketika ini dia dan suami, Mohd Zainuri Ismail, 43, dapat menghasilkan sebanyak 60 kilogram (kg) keropok keping dalam tempoh seminggu di samping turut menghasilkan ikan kering untuk dijual.

Malini menjemur pelbagai jenis ikan untuk dikeringkan sebelum dibungkus dan dijual di Pasar Manir.
Malini menjemur pelbagai jenis ikan untuk dikeringkan sebelum dibungkus dan dijual di Pasar Manir.

"Kita proses keropok keping ni dua kali seminggu. Setiap kali buat kita boleh hasilkan sekitar 30kg.

"Kalau cuaca panas macam sekarang, kerja jadi mudah. Jemur pagi, petang dah boleh angkat sebab cepat kering.

"Kalau musim hujan, susah sikit sebab keropok tak dapat dikeringkan sepenuhnya dan menyebabkan ia berkulat," katanya ketika ditemui di Kampung Tanjung, di sini pada Jumaat.

Jelas Malini, tempoh terbaik untuk menghasilkan keropok ialah antara bulan April hingga Ogos kerana faktor cuaca yang lebih stabil dan panas.

"Tahun lepas kami terjejas sebab musim tengkujuh berpanjangan. Hujan mula bulan Oktober dan berlarutan sampai Februari. Masa tu ikan pun kurang, jadi pengeluaran memang terhenti.

Artikel Berkaitan:

"Tahun ni kita bersyukur, musim panas datang awal. Jadi kami boleh rancang dan hasilkan keropok secara konsisten," katanya.

Malini bersama suaminya, Mohd Zainuri menyusun ikan kerisi yang akan dikeringkan untuk dijual di Pasar Manir, Kuala Terengganu.
Malini bersama suaminya, Mohd Zainuri menyusun ikan kerisi yang akan dikeringkan untuk dijual di Pasar Manir, Kuala Terengganu.

Menurut anak kesembilan daripada 12 beradik itu, dia meneruskan perniagaan arwah bapanya, Mohamad Muda yang meninggal dunia pada usia 79 tahun pada tahun lalu akibat sakit tua.

"Sebelum ini saya bekerja di kilang di Johor, manakala suami pula bekerja sebagai pemandu lori.

"Selepas ayah meninggal, saya ambil keputusan balik kampung, jual rumah di Johor dan bina rumah serta mulakan semula perniagaan keluarga ini," katanya yang menjual hasil laut di Pasar Manir, Kuala Terengganu.

Tambah Malini, walaupun sesetengah pengusaha kini beralih menggunakan mesin pengering, dia tetap mengekalkan kaedah tradisional dalam penghasilan keropok keping dengan sepenuhnya menggunakan haba daripada cahaya matahari.

"Kami masih guna jemuran biasa. Sebab itu kami sangat bergantung pada cuaca. Bila mendung, kita berjaga-jaga. Kadang-kadang tanya orang lama sebab mereka lebih tahu tengok perubahan cuaca," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Terengganu, Rosli Zakaria berkata, suhu tertinggi direkodkan setakat ini di Felda Belara, Besut dengan bacaan 35.7 darjah Celsius manakala kawasan lain di negeri ini mencatatkan suhu antara 33 hingga 34 darjah Celsius.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!