JBPM siap siaga hadapi tiga fenomena cuaca serentak

Nor Hisham.
Nor Hisham.
A
A
A

GEORGE TOWN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini berada dalam keadaan siap siaga menghadapi sebarang kemungkinan berikutan tiga fenomena cuaca serentak yang dijangka berlaku sepanjang tempoh Monsun Barat Daya tahun ini.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, tiga fenomena itu membabitkan cuaca panas, hujan dan angin kencang.

Menurutnya, JBPM sentiasa berada dalam keadaan siap siaga meskipun Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan tiada kejadian El Nino yang ekstrem semasa tempoh monsun tahun ini.

"Kita bersedia dengan laporan kebakaran terbuka semasa berlakunya hari tanpa hujan yang panjang selain tugas penyelamatan akibat kepala air dan angin ribut.

“Tetapi kekhuatiran kita adalah berhubung hujan pada waktu petang terutamanya musim cuti ketika ini kerana orang akan pergi bermain di badan air, jeram dan pantai," katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian penutup Kejohanan Bomba Ragbi Sepuluh Sebelah Tahun 2025 di Padang Polo di sini, pada Ahad.

Nor Hisham (tengah) bergambar bersama pasukan yang memasuki perlawanan akhir Kejohanan Bomba Ragbi Sepuluh Sebelah Tahun 2025 di Padang Polo pada Ahad.
Nor Hisham (tengah) bergambar bersama pasukan yang memasuki perlawanan akhir Kejohanan Bomba Ragbi Sepuluh Sebelah Tahun 2025 di Padang Polo pada Ahad.

Dalam pada itu, Nor Hisham berkata, pihaknya turut merekodkan penurunan ketara laporan kebakaran terbuka sehingga April tahun ini, iaitu hampir 3,000 panggilan kecemasan berbanding kira-kira 9,000 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, MetMalaysia menjangkakan Monsun Barat Daya akan melanda bermula 10 Mei hingga September tahun ini susulan angin yang mula bertiup secara konsisten dari arah Barat Daya ke rantau negara.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip dilaporkan berkata, sepanjang musim berkenaan, kadar kelembapan udara lazimnya rendah, sekali gus menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan di kebanyakan tempat.

Bagaimanapun, hujan lebat berserta angin kencang dan ribut petir masih boleh berlaku di barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah terutamanya pada awal pagi, berikutan kehadiran fenomena garis badai (squall line).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!