Masjid Jamek Sultan Muhammad II perlu dana RM10 juta

KOTA BHARU - Masjid Jamek Sultan Muhammad II, Telipot memerlukan dana sebanyak RM10 juta untuk pembangunan menyeluruh sebagai pusat komuniti bersepadu, pelancongan Islam dan pendidikan.
Imam Tua masjid terbabit, Sabri Abdullah berkata, naik taraf masjid berusia hampir 47 tahun itu melibatkan penambahan kapasiti ruang solat utama daripada 2,000 kepada 5,000 jemaah serta pembinaan ruang rehat yang eksklusif dan laluan diraja.
Menurut beliau, projek itu turut melibatkan pembinaan kelas tahfiz yang lebih sistematik dalam usaha melahirkan hufaz profesional selain taman asuhan kanak-kanak (taska).
"Kita juga mahu menyediakan pusat jagaan warga emas dengan kemudahan bertaraf lima bintang," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Sabri memberitahu, masjid itu berbangga kerana menjadi tuan rumah bagi Program Halaqah Bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Kelantan yang menghimpunkan ramai ilmuwan serta pemimpin masyarakat.
"Masjid Telipot juga akan menganjurkan Program Ibadah Korban Perdana Sempena Hari Raya Aidiladha yang dijadualkan pada 8 Jun ini," katanya.
Jelas beliau, sebanyak 17 ekor lembu korban akan diagihkan kepada penduduk setempat, golongan asnaf dan fakir miskin membabitkan 800 kupon agihan yang setiap satu mewakili 800 gram daging segar.
“Agihan ini merupakan khidmat sosial dan ihsan masyarakat yang diharap dapat meringankan beban golongan kurang berkemampuan untuk bersama memeriahkan Aidiladha,” katanya.
Justeru kata beliau, Masjid Telipot mengalu-alukan sumbangan orang ramai, institusi korporat dan badan bukan kerajaan bagi menyokong usaha murni itu.
Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank bernombor 5531 0459 8143 atas nama Jawatankuasa Masjid Sultan Muhammad II Telipot atau boleh menghubungi talian 09-740 5100.
“Setiap ringgit yang disumbangkan bukan sahaja dapat membangunkan struktur fizikal malah menjadi pelaburan jariah yang berkekalan nilainya di sisi ALLAH SWT," kata Sabri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
