Usahawan luar bandar digesa manfaatkan dana RM360 juta

ALOR SETAR - Usahawan luar bandar digalakkan merebut peluang daripada peruntukan RM360.36 juta yang disediakan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Peruntukan ini bertujuan melaksanakan 77 program pembangunan usahawan di seluruh negara, dengan sasaran 27,300 peserta pada tahun ini.
Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang, menyatakan bahawa peruntukan tersebut akan diagihkan kepada 10 agensi di bawah kementerian, termasuk Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).
KEDA memainkan peranan penting dalam menjana ekonomi luar bandar melalui pelbagai inisiatif keusahawanan.
Beliau menjelaskan bahawa daripada jumlah keseluruhan peruntukan, KEDA menerima RM4.4 juta untuk melaksanakan enam komponen program pembangunan usahawan di Kedah.
"Program-program ini meliputi insentif peningkatan usahawan terampil, pembangunan sawah, projek pertanian luar bandar, serta latihan kemahiran dan pengurusan organisasi.
"Fokus kita bukan sahaja melahirkan usahawan baharu, tetapi membantu mereka berkembang dengan ilmu pengetahuan, akses pasaran, serta kemudahan fizikal seperti premis perniagaan," katanya dalam sidang media sempena Himpunan Usahawan KEDA 2025 di Alor Setar pada Isnin. Turut hadir ialah Pengerusi KEDA, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Rubiah turut menekankan bahawa antara cabaran utama usahawan luar bandar ialah kekurangan modal, ketiadaan premis yang sesuai, jaringan pasaran terhad, dan kurangnya pengetahuan teknikal. Justeru, isu-isu ini perlu ditangani secara menyeluruh dengan kerjasama semua agensi kerajaan di bawah KKDW.
Sejak penubuhannya pada tahun 1981, KEDA telah menerima peruntukan sebanyak RM2.3 bilion untuk pembangunan menyeluruh Kedah, merangkumi aspek infrastruktur, ekonomi, modal insan, dan pertanian.
"Antara kejayaan yang dicapai KEDA termasuk pembinaan 262 kilometer jalan perhubungan desa, pembangunan 62 penempatan perumahan baharu, serta penyediaan 492 lot premis niaga untuk membantu usahawan tempatan terus berdaya saing.
"Dalam aspek pembangunan modal insan, KEDA telah melatih lebih 34,000 peserta melalui 891 kursus jangka pendek, sementara Kolej KEDA yang ditubuhkan sejak 1989 telah melahirkan lebih 8,400 graduan dengan kadar kebolehpasaran mencecah 96.7 peratus," tambahnya.
Beliau juga menegaskan bahawa pendekatan bersepadu melalui kerjasama antara agensi perlu diteruskan bagi memastikan agenda pembangunan luar bandar dapat digerakkan secara komprehensif dan inklusif.
"KEDA tidak bergerak bersendirian. Kita galakkan kerjasama antara agensi dalam KKDW untuk mempercepat agenda pembangunan. Kita tidak hanya mahu melahirkan usahawan, tetapi membentuk mereka sebagai pemain industri desa yang mampan dan bersedia ke peringkat global," katanya.
Sambutan ulang tahun ke-44 penubuhan KEDA turut menyaksikan penganjuran Anugerah Usahawan KEDA 2025, sebagai pengiktirafan kepada usahawan cemerlang di bawah bimbingan agensi berkenaan.
Sebanyak 15 kategori anugerah disampaikan, termasuk Usahawan Muda, Usahawan Sepanjang Masa, Usahawan Inovatif, serta Ikon Usahawan Alumni Kolej KEDA.
"Diharapkan sambutan ulang tahun ke-44 KEDA menjadi pemangkin kepada lonjakan baharu dalam ekosistem keusahawanan desa, serta membuka lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan kepada rakyat Kedah," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

