Berserah kepada ALLAH

A
A
A

> Sambungan daripada artikel minggu lepas

PERJALANAN mengerjakan umrah pada April 2010 memberikan keseronokan kepada Hirwan. Lupa seketika tentang kanser yang dihidapinya. Hirwan begitu seronok mengerjakan ibadat di tanah suci Makkah hingga dia memutuskan untuk melanjutkan masa di sana walaupun sahabat yang lain telah pulang ke tanah air selepas dua minggu.

Hirwan merasakan satu ketenangan di Makkah yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Apabila sujud di hadapan Kaabah, Hirwan memahami erti sebenar berserah dan reda pada ketentuan Ilahi. Dia reda akan apa juga yang bakal terjadi selepas itu, sama ada akan sembuh atau tidak. Ia tidak bermakna dia menyerah kalah tetapi bertawakal setelah semua usaha dilakukan.

ARTIKEL BERKAITAN: Perjuangan pesakit kanser

Dia benar-benar dapat menghayati makna ayat kelima dalam surah Al-Fatihah yang bermaksud: “Hanya kepadaMu kami sembah dan hanya kepadaMu kami meminta pertolongan.”

Dari saat itulah dia kembali bersemangat dan menanam azam untuk memperbaiki diri dalam segala segi kerana menyedari betapa besarnya rahmat ALLAH. Hirwan sedar yang dia boleh menjalani hidup dengan lebih baik dan bermakna walaupun mungkin masanya di dunia ini tinggal sedikit sahaja lagi. Dia tidak akan mensia-siakan setiap saat yang berbaki dalam hidupnya.

Sepanjang berada di Makkah dan Madinah, di samping menggunakan setiap ruang waktu untuk beribadat, Hirwan juga tidak putus-putus meminum air zamzam. Setiap kali minum air zamzam, beliau merasa lebih bertenaga. Hirwan pulang ke Malaysia dengan perasaan yang semakin bersemangat dan lebih positif.

Pada November 2010, dia sekali lagi ke tanah suci Makkah dan Madinah. Kali ini untuk mengerjakan haji pula. Hirwan mengambil kesempatan itu untuk meminum air zamzam secara konsisten dan sering memohon kesembuhan daripada ALLAH.

Artikel Berkaitan:

Sekembalinya ke Malaysia setelah menunaikan ibadat haji, Hirwan ke hospital untuk membuat pemeriksaan susulan. Subhanallah! Doktor mendapati sel-sel kanser dalam badan Hirwan sudah tiada. Ketumbuhan dalam dadanya sudah mengecut dan tiada sebarang tanda yang sel kansernya masih aktif. Alhamdulillah! Allahuakhbar!

Hirwan tergamam. Dia menitiskan air mata kesyukuran kerana merasai betapa besarnya kuasa ALLAH. Sungguh! ALLAH Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Tiada daya dan upaya tanpa izin ALLAH. Hirwan terasa bagaikan mati hidup semula.

“Dan sesiapa yang bertakwa kepada ALLAH (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya ALLAH akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya.” (Surah at-Talaq, ayat 2)

Kini, selepas 12 tahun, Hirwan berasa sangat sihat seperti tidak pernah dirasainya sebelum ini, baik dari segi fizikal mahupun rohani. Selepas disahkan bebas daripada kanser, dia telah mendirikan rumah tangga dan mengambil kesempatan untuk melawat beberapa negara di Asia dan Eropah. Pada awal 2017, dia telah berjaya menakluki Gunung Kinabalu, puncak tertinggi di Asia Tenggara.

Hirwan mahu berkongsi ceritanya dengan orang ramai dan berharap kisah perjuangannya melawan kanser boleh menjadi inspirasi dan pembakar semangat bagi semua pesakit kanser, termasuk ahli keluarga dan rakan mereka.

Bagi saya, mesej penting bagi kita semua adalah walau apa jua penyakit yang kita hidapi atau apa sekalipun masalah atau cabaran yang dihadapi, jangan mudah berputus harap. Sentiasalah berusaha dan berdoa dan yakinlah pada ALLAH. Sesungguhnya ALLAH itu dekat dan Dia sentiasa mendengar.

* Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan