Perjuangan pesakit kanser

A
A
A

APA perasaan anda jika diberitahu anda menghidap kanser tahap empat? Kanser, sesuatu yang sangat digeruni; sering diumpamakan seperti hukuman mati.

Bagi sahabat saya Mohamad Hirwan Hatta, apabila menerima keputusan yang mengesahkan beliau menghidap kanser limfoma tahap empat, masa seolah-olah terhenti.

Suasana tiba-tiba menjadi sunyi. Setiap detikan jam seakan-akan menghitung usianya, memendekkan hayatnya. Adakah esok masih ada? Minggu hadapan?

Ketika sihat atau tidak merasa sakit, kita mengambil mudah perihal hidup dan masa kita di dunia ini; seolah-olah umur kita masih panjang.

Ketika dimaklumkan tentang penyakitnya, bagi Hirwan, tiada lagi yang penting melainkan masa yang berbaki di dunia ini.

Hirwan menceritakan segala-galanya bermula apabila dia sering batuk tanpa henti. Lehernya juga membengkak dan semakin hari semakin susah untuk bernafas, dada terasa seperti dihimpit dan apabila oksigen kurang, dia sentiasa berasa sangat penat.

Dengan keadaan yang demikian dan demam yang berterusan, satu demi satu pemeriksaan telah dibuat di hospital. Daripada ujian batuk kering kepada hepatitis, malahan HIV juga.

Semuanya berkeputusan negatif. Mulalah ada suara-suara yang mengatakan kemungkinan kena sihir atau buatan orang lalu pelbagai pengamal pengubatan alternatif di serata negara disarankan.

Artikel Berkaitan:

Akhirnya, setelah beberapa bulan, pada April 2008, keputusan ujian biopsi tisu dan imbasan CT menunjukkan ketumbuhan sebesar hampir 12 cm antara paru-parunya positif limfoma tahap empat.

Hirwan dirujuk kepada pakar hematologi di Hospital Ampang. Selepas berjumpa doktor pakar, dia terus dimasukkan ke wad. Bermulalah episod hospital sebagai rumah keduanya.

Ketika itu, bagi Hirwan, tiada yang lebih penting selain berikhtiar untuk membebaskan diri daripada penyakitnya. Dia terus memutuskan hubungan dengan dunia luar dan fokus pada rawatan kemoterapi dan sebagainya.

Hirwan mengambil keputusan untuk mengubah cara hidup. Tidak kira bila ajalnya akan tiba, dia mesti kuatkan semangat. Dia enggan mengalah tanpa berjuang.

Sejak hari tu, Hirwan memperbanyakkan solat sunat selain menjaga solat lima waktu setiap hari. Jika sebelumnya dia sering tidak cukup tidur, dia mula memastikan tidur sekurang-kurangnya tujuh atau lapan jam sehari.

Dia juga mula mengamalkan berjoging selang sehari. Pada peringkat permulaan, dia hanya berjalan laju kerana ketumbuhan antara paru-paru itu menghimpit saluran nafasnya. Selain itu, Hirwan juga menjauhi perkara-perkara yang boleh mendatangkan stres.

Selepas menjalani 16 sesi kemoterapi, ujian imbasan PET menunjukkan masih ada kanser di beberapa bahagian badannya walaupun sudah banyak berkurang. Laporan ujian tersebut betul-betul mematahkan semangatnya ketika itu.

Doktor pakar mencadangkan pembedahan pemindahan sumsum tulang sebagai rawatan susulan. Hirwan berada di persimpangan dilema, tidak tahu sama ada hendak bersetuju atau tidak kerana pembedahan itu sangat berisiko.

Dia melengah-lengahkan jawapannya kerana ingin mencuba ikhtiar lain. Setelah dua bulan berlalu, Hirwan masih belum memberi jawapan kepada doktor yang merawatnya.

Ketika itu, tanpa diduga, seorang sahabat yang juga bekas pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD) mengajaknya mengerjakan umrah. Walaupun tidak mempunyai wang yang cukup kerana banyak yang telah dihabiskan untuk mengubati penyakitnya, sahabat-sahabat yang bersamanya ketika di MTD sanggup menaja pemergiannya ke sana.

>> Bersambung minggu depan

*Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan