Kerajaan beri komitmen pastikan Sabah terus diberi perhatian - PM

PENAMPANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen berterusan kerajaan Persekutuan dalam memastikan Sabah tidak diketepikan, khususnya dari segi pembangunan infrastruktur asas dan keperluan rakyat.
Beliau berkata, kerajaan Persekutuan mengambil maklum pelbagai isu yang dihadapi rakyat Sabah, termasuk masalah bekalan air, jalan raya, ketiadaan lampu jalan di kawasan pedalaman, serta tuntutan luar terhadap negeri itu.
Menurutnya, walaupun peruntukan telah disalurkan dalam pelbagai bentuk, ia masih belum mencukupi untuk menampung keperluan sebenar rakyat. Kerajaan bersedia menambah peruntukan sekiranya keadaan mendesak, seperti isu gangguan bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
“Tadi saya berbincang dengan Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor) mengenai isu air di UMS. Saya datang sini dua tahun lalu, beri RM3 juta segera, selesai sekejap, bocor lagi dan mahasiswa kita gelisah.
“Negeri cari semua maklumat penyelesaian. Di luar ada air, dalam (UMS) kadang-kadang tiada air. Kita dengar dan cuba selesaikan sebaik mungkin. Saya beritahu Ketua Menteri, jika perlu tambahan peruntukan, saya beri, kerana ini anak-anak kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2025 di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), pada Jumaat.
Perdana Menteri berkata, isu lampu jalan di kampung-kampung pedalaman juga tidak dipandang ringan dan perlu diselesaikan demi kesejahteraan rakyat.
“Kita boleh bincang isu besar, tetapi mesti selesaikan soal rakyat di bawah. Antara isu yang dibangkitkan ialah kampung pedalaman yang gelap gelita waktu malam.
“Kita fikir kalau nak beri lampu besar, mahal-mahal, tak mampu negara. Jadi kena ada rencana lima atau sepuluh tahun. Tapi saya nak segera,” ujarnya.
Bagi tujuan itu, kerajaan memperkenalkan inisiatif Solar Madani yang dilancarkan di Sarawak dua bulan lalu dan kini diperluaskan ke seluruh Sabah, melibatkan pemasangan tiang elektrik tenaga solar di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Kita mula termasuk di Sabah. Hampir semua kampung tahun ini juga akan dipasang tiang elektrik solar. Walaupun murah, tapi terang.
“Tak perlu standard antarabangsa, cukup standard kita untuk beri cahaya. Saya telah luluskan supaya hampir seluruh kampung pedalaman di Sabah diterangi kuasa solar bermula tahun ini,” katanya.
Beliau menjelaskan, rancangan asal membekalkan lampu elektrik secara konvensional di luar bandar terlalu mahal dan tidak praktikal kerana melibatkan kos jutaan ringgit dan memerlukan masa yang panjang.
Namun apabila alternatif seperti solar ditemui, kerajaan segera meluluskan peruntukan tambahan yang diperlukan.
“Mengapa ditangguh sebelum ini? Sebab rencana asal terlalu mahal, pasang lampu elektrik makan puluh juta, sedangkan masalah lain pun banyak.
“Tapi bila kita dapat rencana lebih murah, saya arahkan dan luluskan peruntukan yang diperlukan. Kalau setakat satu dua juta tambahan untuk Sabah, Hajiji ‘no problem’,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan turut memberi tumpuan kepada isu besar yang menyentuh soal keselamatan dan maruah negeri.
“Sabah ini kadang-kadang tergugat kerana serangan, seperti serangan tentera Sulu dulu hingga tertubuhnya Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).
“Kerajaan terpaksa belanja tinggi untuk persiapan pertahanan yang lebih kukuh, beli senjata untuk tentera dan polis,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa peranan pasukan keselamatan dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak tidak boleh dipisahkan kerana keselamatan negara adalah tanggungjawab bersama.
“Ada orang kata, askar dari Semenanjung pertahankan Sabah. Betul. Tapi dalam kes Al-Maunah yang terkorban termasuk anak Sabah dan Sarawak.
“Bagi saya, sebagai pasukan pertahanan negara, Sabah, Sarawak dan Semenanjung pertahankan kita,” katanya.
Anwar turut menyentuh mengenai tuntutan pihak tertentu dari Filipina terhadap Sabah yang dibawa ke peringkat antarabangsa, termasuk di Sepanyol, Perancis dan beberapa negara Eropah lain.
“Kalau dulu kita ambil ringan tindakan itu, kini tidak lagi. Dalam Jemaah Menteri, kita putuskan untuk ambil tindakan maksimum, hantar peguam melalui Jabatan Peguam Negara dan lawan semua kes.
“Alhamdulillah, semua kes kini ditutup kerana kita menang. Ini soal besar – maruah negeri. Kita lawan habis-habisan. Walaupun kos tinggi, ini bukan isu – ini soal maruah dan kedaulatan Sabah,” tegasnya.
Jelas beliau, usaha mempertahankan Sabah bukan sekadar dari segi perundangan tetapi juga melalui hubungan diplomatik yang strategik dan berhemah.
“Kita bincang perkara ini banyak kali dalam Jemaah Menteri bersama Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Sabah. Alhamdulillah, hasilnya baik.
“Walaupun Filipina masih ada suara kecil yang menuntut Sabah, hubungan diplomatik kita dengan negara itu sangat baik.
“Sama ada dengan Presiden terdahulu atau sekarang, Ferdinand Marcos Jr, saya kekalkan hubungan sangat akrab. Dalam mesyuarat ASEAN baru-baru ini pun, isu Sabah terkawal dan tidak jadi isu besar. Kita jaga hubungan serantau tapi tidak kompromi dengan kedaulatan Sabah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
