Cadangan lorong khas lori di bawah KKR - Menteri

JPJ akan terus memantau dan mengambil tindakan terhadap mana-mana kenderaan berat yang menyalahgunakan lorong kanan.
JPJ akan terus memantau dan mengambil tindakan terhadap mana-mana kenderaan berat yang menyalahgunakan lorong kanan.
A
A
A

PUTRAJAYA – Sebarang cadangan untuk mewujudkan lorong khas bagi kenderaan berat seperti lori adalah di bawah tanggungjawab Kementerian Kerja Raya (KKR), bukan Kementerian Pengangkutan (MOT), kata Menteri Pengangkutan.

Anthony Loke menegaskan, semua perkara melibatkan reka bentuk dan infrastruktur jalan raya, termasuk penyediaan lorong khas terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa KKR.

“Infrastruktur sedia ada tidak mempunyai lorong khas untuk kenderaan berat. Jadi ini sesuatu bukan yang boleh kita tentukan di peringkat MOT (kerana) ia melibatkan pihak KKR, ini terpulang kepada KKR,” katanya.

Anthony berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan di sini pada Khamis.

Terdahulu beliau ditanya sama ada kerajaan bercadang menyediakan laluan khas susulan kemalangan membabitkan kenderaan berat yang semakin membimbangkan.

Menurutnya, MOT hanya bertanggungjawab dalam aspek penguatkuasaan peraturan sedia ada, antaranya mewajibkan lori kekal di lorong paling kiri kecuali ketika memotong.

“Dari segi peraturan jalan raya, lori ataupun kenderaan berat tidak boleh menggunakan lorong kanan selain daripada memotong. Mesti berada di lorong paling kiri,” katanya.

Jelasnya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan terus memantau dan mengambil tindakan terhadap mana-mana kenderaan berat yang menyalahgunakan lorong kanan.

“Cuma apa yang dilaksanakan di bawah Kementerian Pengangkutan ialah JPJ akan terus memantau dan mengambil tindakan terhadap penyalahgunaan lorong kanan oleh kenderaan berat selain daripada memotong kenderaan,” tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata pihaknya mendapati kadar kesalahan membabitkan kenderaan terbabit yang memandu secara berterusan di lorong paling kanan ditahap yang membimbangkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!