Negeri Sembilan dengar keluh kesah pengusaha kedai makan isu LPG komersial

SEREMBAN - Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan mengadakan sesi pertemuan bersama persatuan pengusaha kedai makan di negeri ini bagi mendengar kebimbangan mereka mengenai pelaksanaan Ops Gasak 2025.
Veerapan berkata, sesi berkenaan penting bagi memastikan suara peniaga kecil didengar, khususnya yang berdepan kesukaran dengan peralihan penggunaan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi kepada LPG komersial.
"Perjumpaan ini diadakan di Pejabat Exco, Wisma Negeri turut dihadiri wakil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan sebagai usaha memperjelas dasar serta memperhalusi pelaksanaan penguatkuasaan.
“Kerajaan negeri mengambil maklum kebimbangan yang disuarakan peniaga, terutamanya tentang kenaikan kos operasi apabila LPG bersubsidi tidak lagi dibenarkan untuk kegunaan perniagaan,” katanya menerusi kenyataan.
Ops Gasak 2025 dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara bermula 1 Mei lalu sebagai langkah membanteras penyelewengan barang kawalan dan memastikan subsidi kerajaan disalurkan kepada golongan sasar.
Veerapan berkata, pematuhan peraturan perlu ditingkatkan namun pada masa sama pendekatan berhemah harus diambil agar peniaga kecil tidak terbeban secara mendadak.
Beliau memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan terus menjadi penghubung antara peniaga dan agensi berkaitan untuk memastikan penyelesaian yang lebih seimbang dan praktikal dapat dicapai.
Untuk rekod, sebarang pelanggaran boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 yang memperuntukkan denda sehingga RM1 juta atau penjara bagi individu dan denda hingga RM5 juta bagi syarikat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

