Pelaksanaan Ops Gasak bukan untuk tarik subsidi LPG

ARMIZAN
ARMIZAN
A
A
A
CYBERJAYA - [DIKEMAS KINI] Pelaksanaan operasi bagi menggempur penyelewengan dan ketirisan gas memasak bersubdisi (Ops Gasak) bukan untuk menarik subdisi ke atas gas petroleum cecair (LPG), kata Datuk Armizan Mohd Ali.

Sebaliknya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu berkata, tindakan yang diambil oleh pihak penguat kuasa kementerian itu sebagai memperkasakan peruntukan sedia ada.

"Saya tegaskan di sini bahawa pendekatan melalui Ops Gasak ini bukan untuk menarik subsidi.

"Tidak, subsidi dikekalkan namun apa yang kita buat melalui Ops Gasak ini untuk memastikan ketirisan subsidi dapat dikekangkan," katanya menerusi sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Akses Pasaran Runcit di sini pada Khamis.

Beliau turut mempersoalkan permintaan pihak tertentu yang mahu moratorium dilaksanakan sebelum operasi tersebut dijalankan.

"Saya fikir rata-rata antara kita adalah pembayar cukai, adakah anda mahu cukai hasil kudrat kita kerja siang malam diseleweng untuk perniagaan orang lain yang semata-mata mengaut keuntungan?" soal Armizan.

Minggu lalu, pengusaha dobi mencadangkan kerajaan supaya menangguhkan tindakan penguatkuasaan Ops Gasak terhadap mereka sehingga sesi libat urus bersama pemain industri, khususnya persatuan dobi diadakan dan persetujuan dicapai.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Dobi Melayu (Mula) Zarina Ismail memberi alasan peralihan penggunaan LPG komersial yang berharga sekitar RM65 hingga RM70 bagi silinder seberat 14 kilogram adalah peningkatan lebih daripada dua setengah kali ganda berbanding kadar bersubsidi sebelum ini iaitu RM27 hingga RM30.

Dalam pada itu, Armizan meminta pengusaha dobi melihat kembali model perniagaan mereka dan segera membuat peralihan.
Artikel Berkaitan:


Menurutnya, terdapat sektor perniagaan tertentu telah pun memastikan peraturan dipatuhi.

"Jadi adakah perlu 'double standard'? Atau adakah kita mahu mereka yang telah menggunakan LPG industri merubah pendekatan berebut dengan pengguna domestik membeli LPG subisidi?" soalnya lagi.

KPDN melancarkan Ops Gasak bermula 1 Mei lalu selepas pihaknya menerima banyak aduan berhubung penyelewengan dan ketirisan gas memasak bersubdisi.

Operasi yang digerakkan seluruh negara itu dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tambah Armizan, Ops Gasak menggunakan pendekatan secara berhemah bagi memastikan pihak industri mematuhi peraturan.

"Dari aspek penguatkuasaan, ia menjadi tanggungjawab KPDN. Saya ulang kerajaan tidak akan tarik subsidi ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!