MCA gesa KPDN nilai semula harga LPG kepada PKS

KPDN) digesa menilai semula langkah mewajibkan penggunaan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi kepada peniaga. Gambar hiasan
KPDN) digesa menilai semula langkah mewajibkan penggunaan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi kepada peniaga. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) digesa menilai semula langkah mewajibkan penggunaan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi kepada peniaga khususnya bagi sektor minuman dan makanan, dobi serta perniagaan yang menggunakan gas tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi dan Perniaga Kecil dan Sederhana (PKS) MCA, Datuk Lawrence Low berkata, kebanyakan peniaga kategori PKS dikendalikan oleh individu kumpulan berpendapatan rendah (B40) serta sederhana (M40) dan bukannya restoran mewah.

"MCA bersetuju sekiranya pengusaha perniagaan berkaitan tidak dibenar menggunakan LPG bersubsidi, namun dalam masa sama, LPG komersial yang diwajibkan kepada mereka dengan harga RM70 setong juga tidak munasabah.

"Oleh itu MCA mencadangkan harga yang lebih sesuai diperkenalkan supaya tidak memberi kesan drastik terhadap pengusaha perniagaan dan pengguna atau pelanggan mereka terutama kalangan B40 dan M40," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu.

Dalam pada itu Lawrence yang juga Naib Presiden MCA memaklumkan, pihaknya telah menerima banyak aduan daripada persatuan dan pengusaha perniagaan berhubung Ops Gasak yang dijalankan KDPN bermula 1 Mei lalu.

Susulan peralihan penggunaan LPG komersial menurutnya, peniaga terpaksan menanggung kenaikan kos operasi sehingga 2.5 kali ganda hingga mencetuskan tindak balas berantai yang memberi kesan kepada rakyat sebagai pengguna.

"Dalam masa terdekat, Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi dan PKS MCA akan mengadakan pertemuan dengan Malaysia Singapore Coffee Shop Proprietors' General Association berhubung perkara ini.

"Kami juga akan memanjangkan hasil pertemuan tersebut kepada kerajaan,seterusnya berharap penyelesaian menang-menang dapat dicapai.

"Apa yang penting bagi MCA, rakyat selaku pengguna seharusnya tidak lagi dibebankan dengan kenaikan kos sara hidup yang kini semakin membebankan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!