Kelantan tegas isu kebersihan, pengurusan ibadah korban - Exco

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menegaskan bahawa semua pihak yang terlibat dalam pengurusan ibadah korban perlu memberi perhatian kepada aspek kebersihan dan waktu pemindahan haiwan ke lokasi sembelihan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar dan selamat.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Kelantan, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, garis panduan pelaksanaan telah dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi meminimumkan risiko penyakit dan tekanan terhadap haiwan.
“Pemindahan lembu ke tempat sembelihan mesti dibuat dalam tempoh yang dibenarkan bagi mengelakkan tekanan terhadap haiwan yang boleh menjejaskan mutu daging.
“Kita juga tekankan supaya lokasi sembelihan, sama ada di masjid, surau atau pusat korban berlesen, dikendalikan dengan bersih dan mengikut prosedur,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Inovasi Bioteknologi Pertanian dan Ekspo Dapur Hijau Kelantan Kelantan 2025 di Pantai Bisikan Bayu di sini pada Khamis.
Turut hadir Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan yang merasmikan majlis.
Menurut Tuan Mohd Saripudin, kerajaan negeri melalui jabatan berkaitan juga menekankan kepatuhan dalam pengurusan pemindahan ternakan, melibatkan 30,000 lembu yang diimport dari Thailand.
“Setiap lembu yang dibawa masuk menjalani proses kuarantin dan pemeriksaan kesihatan rapi bagi memastikan haiwan ternakan ini bebas daripada penyakit kuku dan mulut serta penyakit demam lumpy skin,”jelasnya.
Beliau turut memaklumkan tiada sebarang kes jangkitan membabitkan lembu import setakat ini dan semua ternakan yang dibawa masuk ke Kelantan adalah sihat serta sesuai untuk ibadah korban.
“Langkah kawalan ini penting untuk memastikan kualiti daging terjamin dan tiada risiko kesihatan kepada masyarakat,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan negeri turut menyediakan garis panduan lengkap sebagai rujukan kepada semua pengendali korban termasuk berkaitan logistik, pemilihan lokasi, dan pengurusan sisa sembelihan.
“Kita mahu pelaksanaan korban bukan sahaja berjalan lancar tetapi juga memberi contoh terbaik dari segi pengurusan, kebersihan dan penghormatan terhadap haiwan sembelihan,” katanya.
Dalam masa sama, katanya lagi, program pendidikan dan advokasi turut digerakkan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kaedah penyembelihan yang betul serta kepentingan pematuhan kepada semua peraturan yang ditetapkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

