Import 30,000 lembu dari Thailand, Kelantan jamin bekalan haiwan korban mencukupi

PASIR PUTEH – Kerajaan Kelantan beri jaminan bekalan lembu korban mencukupi, termasuk pengimportan sejumlah 30,000 ternakan itu dari Thailand bagi menampung permintaan tinggi pada musim perayaan berkenaan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, sambutan Aidiladha tahun ini juga dijangka lebih meriah berikutan pertembungan hari raya korban dengan cuti persekolahan, sekali gus membuka peluang lebih ramai rakyat menyertai ibadah korban.
Menurut beliau, perancangan awal import dilakukan bersama agensi berkaitan termasuk pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) selain keutamaan kepada penternak tempatan tetap diberikan bagi memastikan aliran ekonomi dalam negeri kekal berdaya tahan.
“Setakat ini, tiada masalah besar berkaitan bekalan lembu untuk ibadah korban kerana 30,000 lembu sudah dibawa masuk manakala lebih 5,000 bekalan lembu tempatan disediakan.
“Kita percaya tahun ini suasana Aidiladha akan lebih meriah dengan penyertaan lebih ramai pihak dalam program korban,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Inovasi Bioteknologi dan Ekspo Dapur Hijau Kelantan 2025 di Pantai Bisikan Bayu di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Mohamed Fadzli berkata, kerajaan negeri turut menggalakkan usaha memperkukuh sektor penternakan melalui teknologi moden serta penyelidikan berasaskan bioteknologi.
Ini kerana katanya, negeri itu tidak boleh berterusan bergantung kepada import terrnakan dari luar.
"Kelantan perlu ada sistem penternakan yang mampan ke arah menjadikan negeri ini sebagai jelapang makanan negara.
“Ini termasuk galakan kepada usahawan muda terlibat dalam industri ternakan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

