Bekalan lembu korban di NS mencukupi, tiada isu naik harga

Jalaluddin
Jalaluddin
A
A
A

PORT DICKSON – Bekalan lembu bagi keperluan ibadah korban di Negeri Sembilan adalah mencukupi dan tiada keperluan untuk mendapatkan bekalan daripada luar.

Exco Kanan merangkap Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pihaknya juga mendapati tiada berlaku peningkatan harga lembu korban seperti mana tahun-tahun sebelumnya.

“Kita dapati permintaan untuk mendapatkan bekalan lembu korban adalah seperti biasa dan tiada berlaku kekurangan bekalan.

“Setakat ini juga, kita dapati tidak berlaku kenaikan harga lembu korban yang ketara berbanding tahun-tahun lepas. Anggaran harga bagi seekor lembu adalah sekitar RM4,500 hingga RM6,500 bergantung kepada saiz dan berat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Pemerkasaan Wanita 2025 di Auditorium Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson, di sini pada Selasa.

Selain itu, katanya, pengendali program ibadah korban juga perlu mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Jelasnya, langkah itu bagi mengelakkan sebarang isu yang timbul, khususnya berkaitan kes lembu berpenyakit, sekali gus memastikan penyembelihan dilakukan mengikut hukum syarak yang ditetapkan.

“Mereka yang ingin menjalankan program korban ini, sama ada secara besar-besaran atau kecil-kecilan, perlulah mendapatkan pandangan dan nasihat, terutamanya kelulusan untuk melaksanakan program tersebut.

“Ini kerana kita tidak mahu nanti berlaku kes lembu berpenyakit atau aktiviti penyembelihan yang tidak mengambil kira aspek kesihatan serta keselamatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, perkara paling penting ialah memastikan penyembelihan dilakukan oleh individu yang mempunyai tauliah atau yang terlatih.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!