Isu air jadi keutamaan Ketua Menteri Melaka baharu

Sulaiman mendapat ciuman ibunya setelah dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12.
Sulaiman mendapat ciuman ibunya setelah dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Isu bekalan air di Melaka akan menjadi teras utama kepada Ketua Menteri yang baharu, Datuk Sulaiman Md Ali dalam menyelesaikan permasalahan keperluan rakyat di negeri tersebut.

Sulaiman berkata, sehubungan itu beliau akan mendapatkan maklum balas daripada Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dan Badan Kawal Selia Air (BKSA) mengenai perkembangan terkini terhadap isu berkenaan sebelum melaksanakan sebarang tindakan.

"Esok, saya bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, (Datuk Hasim Hassan) akan mendapatkan penjelasan terlebih dahulu daripada SAMB dan BKSA. Biarlah mereka memberi sedikit pencerahan apakah permasalahan sebenar.

"Selepas itu barulah saya ambil tindakan segera dan munasabah, bergantung kepada penerangan yang akan dimaklumkan nanti," katanya dalam sidang akhbar pertama beliau selepas dilantik menjadi Ketua Menteri di luar Dewan Seri Utama Pejabat Yang Dipertua Negeri, di Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Sejak akhir-akhir ini krisis bekalan air yang melanda negeri berkenaan sememangnya sering diperkatakan.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu dari Barisan Nasional (BN) tersebut berkata, beliau meminta diberikan ruang sebelum membentuk barisan Exco kerana penilaian harus dilakukan dari segenap sudut sebelum pelantikan secara rasmi dibuat, seterusnya mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

Menurut beliau, Exco yang dilantik pastilah mereka yang terdiri daripada pelbagai latar belakang yang diyakini mampu bergerak seiring bagi memantapkan gerak kerja serta peranan mereka dalam membela nasib rakyat.

"Berilah saya peluang agar gabungan ini boleh memberikan satu gerak kerja yang baik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sambil itu Sulaiman menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakan komponen BN yang telah memberikan sokongan terhadapnya.

Petang tadi, beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Melaka mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12 di hadapan Tun Dr Mohd Khalil.

Pelantikan itu berikutan Pakatan Harapan tumbang di negeri itu yang membolehkan Perikatan Nasional membentuk kerajaan baharu.