Loji WTE SIS Rawang penuhi piawaian EIS, pacu pengurusan sisa lestari

Gambar rajah daripada laporan EIA yang kini dalam semakan awam. Gambar kecil: Tengku Hanidza
Gambar rajah daripada laporan EIA yang kini dalam semakan awam. Gambar kecil: Tengku Hanidza
A
A
A

CADANGAN pembinaan Loji Sisa-ke-Tenaga (WTE) Sultan Idris Shah (SIS) di Mukim Rawang disifatkan memenuhi piawaian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), menandakan satu langkah penting ke arah pengurusan sisa yang lebih mampan di kawasan berpenduduk padat.

Menurut pakar alam sekitar, Dr. Tengku Hanidza Tengku Ismail, laporan EIA bagi projek berkenaan telah merangkumi impak terhadap air, udara dan sisa pepejal, sejajar dengan skop utama yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Laporan ini lengkap dari segi maklumat persekitaran semasa dan ramalan impak terhadap kesihatan serta sosial. Ia meletakkan asas kukuh untuk penilaian pembangunan loji WTE secara bertanggungjawab,” katanya, yang juga bekas pensyarah Fakulti Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia.

Tengku Hanidza turut mengingatkan bahawa kejayaan projek WTE bukan hanya bergantung kepada laporan teknikal semata-mata, tetapi juga kepada penyelesaian cabaran teknikal dan tahap penerimaan masyarakat setempat.

Anggaran penjanaan sisa pepejal di Malaysia daripada buku laporan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal negara.
Anggaran penjanaan sisa pepejal di Malaysia daripada buku laporan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal negara.

“Keperluan terhadap fasiliti pelupusan sisa yang lebih hijau dan lestari adalah mendesak, terutamanya di kawasan tanah besar yang berpenduduk padat. Namun, kita perlu bersedia menangani isu seperti kekurangan tenaga pakar teknikal dan penguatkuasaan yang lemah,” jelasnya.

Beliau menambah, walaupun loji WTE berpotensi menjadi penyelesaian jangka panjang terhadap masalah lambakan sisa, ia perlu dilaksanakan dengan tadbir urus yang baik dan komunikasi telus agar tidak menimbulkan kebimbangan awam.

Sementara itu, seorang penduduk tempatan yang menyokong pembangunan loji WTE SIS berpandangan bahawa sebahagian besar penolakan masyarakat mungkin berpunca daripada sindrom “Not In My Backyard” (NIMBY), iaitu penentangan terhadap projek pembangunan meskipun ia membawa manfaat, hanya kerana ia dilaksanakan berhampiran kawasan kediaman mereka.

“Mentaliti seperti ini boleh menjadi penghalang kepada kemajuan negara. Kita harus mencontohi negara-negara maju yang telah berjaya melaksanakan loji WTE tanpa menjejaskan alam sekitar atau kesejahteraan penduduk setempat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, pada tahun 2023, Malaysia menghasilkan lebih 38,000 tan sisa pepejal sehari, dengan lebih 80 peratus daripadanya berakhir di tapak pelupusan.

Berbeza dengan negara-negara maju seperti Singapura, Sweden, Denmark, Belanda dan Jerman, yang mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan kepada kurang daripada lima peratus, Malaysia bersama Indonesia, Thailand dan Filipina masih bergantung kepada kaedah pelupusan terbuka (landfill).

Pada tahun 2000, sebanyak 300 ekar (121 hektar) tanah di Selangor digunakan untuk landfill. Jumlah itu meningkat tujuh kali ganda kepada 2,100 ekar (850 hektar) pada tahun 2022. Jika trend ini berterusan, Selangor mungkin memerlukan 6,000 ekar (2,428 hektar) tanah untuk landfill menjelang 2050 – bersamaan separuh saiz Putrajaya.

Sebagai perbandingan, Indonesia pada Mac lalu mengumumkan perancangan membina 30 loji WTE menjelang 2029 di bandar-bandar utama seluruh negara.

Pada Mei tahun lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memberitahu bahawa kerajaan telah mengenal pasti 18 lokasi bagi pembangunan WTE di seluruh negara sebagai hala tuju baharu dalam pengurusan sisa pepejal menggunakan teknologi canggih dan terkini.

Iktibar dari Kajang, standard lebih tinggi di Rawang

Tengku Hanidza turut memetik pengalaman Loji WTE Kajang di Semenyih sebagai pengajaran penting yang perlu dijadikan rujukan.

Fasiliti tersebut, katanya, ditutup selepas menerima aduan berhubung pelepasan udara, pengurusan air larut resap (leachate) yang tidak cekap serta bantahan masyarakat yang semakin meningkat.

Sebaliknya, beliau menjelaskan bahawa fasiliti insinerator berskala kecil seperti di Langkawi, Pangkor dan Tioman beroperasi dengan lebih baik kerana jumlah sisa yang lebih rendah dan penerimaan masyarakat yang lebih tinggi.

“Kita perlu belajar daripada kesilapan lalu dan melabur dalam tenaga kerja mahir, di samping memperkukuh sistem pengawalseliaan dan pemantauan agar masyarakat dapat diyakinkan dan menyokong projek seperti ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, pemain industri memaklumkan bahawa Loji WTE Kajang di Semenyih yang mula beroperasi pada 2009 menggunakan teknologi lama berasaskan sistem Refuse-Derived Fuel (RDF), yang kini dianggap kurang efisien dan ketinggalan dari segi pengawalan pelepasan.

Sebaliknya, menurut laporan EIA bagi projek WTE Rawang, loji yang dicadangkan itu akan menggunakan teknologi lebih moden dengan piawaian pelepasan (emission standards) yang lebih ketat — jauh lebih baik berbanding insinerator konvensional, loji janakuasa arang batu (coal-fired power plant) malah melepasi piawaian Kesatuan Eropah (EU Standard) dan Standard China.

Perbandingan teknikal ini dijangka dapat meredakan kebimbangan masyarakat setempat dan memberi keyakinan bahawa loji tersebut boleh beroperasi secara selamat tanpa menjejaskan alam sekitar.

EIA dibuka untuk semakan awam

Laporan EIA bagi projek ini kini sedang dipamerkan kepada umum dari 7 Mei hingga 5 Jun 2025, dan tarikh akhir untuk penghantaran maklum balas awam ialah 20 Jun 2025.

Proses ini selaras dengan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan memberi ruang kepada masyarakat untuk menilai serta menyuarakan pandangan mereka.

Projek Loji WTE SIS Rawang merupakan salah satu inisiatif utama kerajaan negeri Selangor dalam merealisasikan agenda ekonomi hijau dan tenaga boleh diperbaharui, sambil mengurangkan kebergantungan kepada sistem pelupusan sisa secara terbuka yang semakin tidak mampan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!