Kerajaan Kelantan ucap tahniah kepada Kabinet baharu

Ahmad Yakob
Ahmad Yakob
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Pas Kelantan merakamkan ucapan tahniah kepada barisan Kabinet baharu yang dilantik hari ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dalam satu kenyataan berharap dengan pelantikan tersebut, ALLAH SWT dapat menganugerahkan petunjuk dan hidayah kepada mereka yang terpilih menjalankan tugas dengan adil dan saksama.

"Dengan pelantikan jemaah menteri baharu ini, hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan dapat terus diperkukuhkan selaras dengan semangat Persekutuan demi kesejahteraan rakyat," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan barisan Kabinet baharu yang turut melibatkan 10 ahli Parlimen dari Kelantan.

Lima menteri dari Kelantan ialah Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Sri Mustapa Mohamed; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan; Menteri Alam Sekitar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Lima ahli Parlimen lain pula menjawat jawatan timbalan menteri iaitu Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary; Timbalan Menteri Alam Sekitar, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad; Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff dan Timbalan Menteri (II) Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Artikel Berkaitan: