Bersatu Kelantan gesa tangguh rasionalisasi subsidi RON95

KOTA BHARU – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol RON95 kerana dikhuatiri menjejaskan kebajikan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, cadangan rasionalisasi itu tidak wajar dilaksanakan dalam suasana ekonomi rakyat yang masih belum pulih, ditambah dengan tekanan kos sara hidup serta kesan bencana seperti banjir dan pandemik.
“Setakat ini, tiada jaminan bahawa sistem subsidi bersasar yang ingin diperkenalkan benar-benar mampu melindungi semua golongan rentan tanpa keciciran,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.
Sehubungan itu, Bersatu Kelantan mengemukakan tiga gesaan utama kepada Kerajaan Persekutuan iaitu, menangguhkan pelaksanaan dasar tersebut sehingga kajian impak menyeluruh dibuat, menjelaskan mekanisme subsidi bersasar secara telus kepada rakyat dan melibatkan kerajaan negeri dan pertubuhan masyarakat sivil dalam proses perundingan.
“Bersatu Kelantan berdiri teguh bersama rakyat dan akan terus bersuara agar setiap dasar negara mengambil kira realiti di akar umbi, bukan semata-mata angka dan statistik,” katanya lagi.
Sebelum ini, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan bahawa rasionalisasi subsidi RON95 akan dilaksanakan pada separuh kedua tahun 2025.
Menurutnya, Kementerian Kewangan akan meneruskan proses pelaksanaan rasionalisasi tersebut, namun ketika ini tumpuan diberikan kepada perbincangan bagi memastikan golongan yang bakal menerima sokongan subsidi dikenal pasti dengan tepat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


