Duta Israel dihalau keluar kampus

DAKAR, SENEGAL – Lawatan rasmi Duta Israel ke Senegal, Yuval Waks, bertukar kecoh apabila beliau terpaksa beredar tergesa-gesa dari kampus Universiti Cheikh Anta Diop (UCAD) di Dakar selepas dikepung dan diejek oleh penunjuk perasaan pro-Palestin, pada Selasa.
Waks dijadualkan berucap dalam sebuah persidangan berkaitan hubungan antarabangsa di universiti berprestij itu, namun kehadirannya disambut dengan laungan “Bebaskan Palestin”, “Bebaskan Gaza” dan “Israel penjenayah perang” oleh puluhan mahasiswa yang berhimpun di luar dewan.
Video yang tular di media sosial memaparkan penunjuk perasaan membawa bendera Palestin sambil membantah kehadiran Waks dan menghalangnya daripada menyampaikan ucapan.
Suasana menjadi semakin tegang apabila mereka mula mengejek dan memberikan kata-kata 'boo' kepada wakil diplomatik itu secara terbuka.
Pihak keselamatan terpaksa mengiringi Waks keluar dari kawasan kampus tanpa sempat beliau berucap. Difahamkan, penunjuk perasaan terus mengekori beliau sambil melaungkan slogan dan mengibarkan bendera Palestin ketika beliau meninggalkan kawasan berkenaan.
Waks yang juga memegang jawatan sebagai Duta Tidak Bermastautin Israel ke Gambia, Guinea, Guinea-Bissau, Cape Verde dan Chad, baru sahaja menyerahkan watikah pelantikannya kepada Presiden Senegal, Bassirou Diomaye Faye pada 8 Mei lalu.
Penolakan terhadap kehadiran Waks berlaku dalam konteks krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza, apabila Israel terus menutup semua lintasan sempadan sejak 2 Mac, menyekat kemasukan makanan, ubat-ubatan dan bantuan kemanusiaan.
Tentera Israel meneruskan serangan ganas ke atas Gaza sejak Oktober 2023, membunuh lebih 54,000 rakyat Palestin sebahagian besarnya wanita dan kanak-kanak.
November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) turut mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel kini turut berdepan perbicaraan kes pembunuhan beramai-ramai (genosid) di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) susulan dakwaan kekejaman terhadap orang awam Palestin. -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

