Takaful catat pendapatan RM980.6 juta bagi suku pertama 2025

Takaful Malaysia kekal prestasi berdaya tahan pada suku pertama tahun 2025.
Takaful Malaysia kekal prestasi berdaya tahan pada suku pertama tahun 2025.
A
A
A

SHAH ALAM – Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 19 peratus, mencecah RM980.6 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nor Azman Zainal berkata, prestasi itu menunjukkan peningkatan sebanyak RM154.6 juta berbanding RM826 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, peningkatan utama pendapatan didorong oleh caruman yang lebih tinggi dan memberangsangkan daripada segmen perniagaan kredit kumpulan.

Jelasnya, bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025, syarikat telah mencatatkan keuntungan sebelum zakat dan cukai sebanyak RM151.1 juta, lebih tinggi berbanding RM150.3 juta yang dilaporkan dalam tempoh sama tahun lalu.

“Kami telah menjana pendapatan sebanyak RM608.2 juta bagi suku pertama 2025, dengan peningkatan ketara 35 peratus berbanding RM449.6 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

“Ia disebabkan jumlah caruman lebih tinggi dikenakan untuk perlindungan takaful sebanyak RM93.2 juta dan pelepasan caruman lebih tinggi sebanyak RM44.3 juta.

“Segmen takaful am kami mencatatkan pendapatan sebanyak RM343.5 juta bagi suku pertama dalam tinjauan, sedikit rendah daripada RM350.4 juta yang dicatatkan bagi 2024, kerana kami terus memberi tumpuan kepada kualiti perniagaan yang diperoleh,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Nor Azman berkata, Takaful Malaysia terus mengekalkan prestasi pada suku pertama 2025, didorong oleh kekuatan portfolio perniagaan.

Tambah beliau, mereka turut mempergiatkan usaha mengukuhkan perniagaan dalam segmen runcit dengan matlamat menyediakan penyelesaian perlindungan menyeluruh kepada rakyat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Pada suku pertama tahun ini, kami mengekalkan prestasi yang kukuh menerusi portfolio perniagaan teras kami dalam bancatakaful, perbendaharaan, faedah pekerja dan takaful am.

“Kaotim, platform dan jenama digital kami, terus mengukuhkan kedudukan pasaran serta mencatatkan hasil positif dengan menawarkan pelan perlindungan dalam talian yang mampu milik dan mudah diakses.

“Kami sedang mempergiatkan usaha mengukuhkan perniagaan dalam segmen runcit dengan matlamat menyediakan penyelesaian perlindungan menyeluruh dan berpatutan serta akses lebih luas kepada rakyat Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, Nor Azman berkata, Takaful Malaysia mengukuhkan agenda kemampanannya dengan memberi tumpuan kepada Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) pada tahun 2025.

Tambah beliau, syarikat akan terus menjayakan inisiatif yang disasarkan, merangkumi pengurusan risiko iklim, amalan penjagaan alam sekitar, pendekatan pelaburan beretika dan program pembangunan komuniti inklusif.

Jelasnya, usaha itu menggambarkan strategi Takaful Malaysia untuk mengintegrasikan kemampanan dalam model perniagaan di samping mencipta nilai perniagaan jangka panjang.

“Kami akan terus memacu pertumbuhan yang berdaya tahan dengan memberi tumpuan kepada penyampaian nilai mampan merangkumi keseluruhan pendapatan dan keuntungan kami.

“Keutamaan strategik syarikat ialah memperluas dan mempelbagaikan portfolio perniagaan di samping memperkukuhkan operasi teras kami.

“Pemerkasaan dalam transformasi digital kekal sebagai tonggak utama untuk memacu kecemerlangan operasi, meningkatkan pengalaman pelanggan dan mengekalkan kelebihan daya saing.

“Matlamat utama kami adalah untuk menjadi peneraju industri yang berdaya tahan, dipercayai dan terus memperkasakan perkhidmatan kewangan Islam untuk generasi akan datang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!