Sunsuria catat pendapatan RM125.93 juta bagi suku kedua 2025

Sunsuria terus mencapai pertumbuhan positif dan mampan pada suku kedua 2025.
Sunsuria terus mencapai pertumbuhan positif dan mampan pada suku kedua 2025.
A
A
A

SUNSURIA Berhad (Sunsuria) merekodkan pendapatan sebanyak RM125.93 juta dan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM14.06 juta bagi suku kedua tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac 2025 (Q2 FY2025), menurut kenyataan syarikat baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Sunsuria, Tan Wee Bee berkata, angka itu menunjukkan penurunan berbanding suku yang sama tahun sebelumnya (Q2 FY2024), di mana syarikat mencatatkan pendapatan sebanyak RM167.84 juta dan keuntungan sebelum cukai RM22.22 juta.

"Pencapaian tahun lalu didorong oleh pengiktirafan keuntungan secara berperingkat yang lebih tinggi daripada segmen pembangunan hartanah," katanya.

Menurut beliau, penyusutan prestasi tersebut adalah berikutan penyempurnaan beberapa projek utama pada tahun kewangan terdahulu, termasuk unit Sunsuria Forum (Fasa 2) SOHO pada Januari 2024 dan Sunsuria Forum Residential Suites (Fasa 2) pada April 2024.

Pendapatan terkumpul setakat tahun ini ialah RM284.31 juta, yang dilihat lebih sederhana berbanding tempoh sama tahun lalu. Hal ini selari dengan kitaran hayat projek pembangunan yang mencapai fasa matang.

Bagaimanapun, segmen pendidikan di bawah Sunsuria Education memberikan impak positif, disokong oleh pembukaan Concord College International School pada September 2024.

Keuntungan sebelum cukai setakat tahun ini meningkat sebanyak tiga peratus kepada RM37.14 juta berbanding RM36 juta pada tahun kewangan sebelumnya. Faktor peningkatan termasuk pendapatan lain yang lebih tinggi dan kos kewangan yang lebih rendah.

Pendapatan suku kedua (Q2 FY2025) menurun berbanding RM158.38 juta pada suku pertama (Q1 FY2025), begitu juga keuntungan sebelum cukai yang sebelum ini berjumlah RM23.08 juta.

"Perbezaan ini disebabkan oleh pengiktirafan keuntungan yang lebih rendah daripada projek Bangsar Hill Park dalam Q2, serta prestasi kukuh dalam Q1 yang dipacu oleh penyerahan projek Seni Residences di Sunsuria City pada November 2024," ujar Wee Bee.

Artikel Berkaitan:

Beliau menegaskan bahawa Sunsuria akan terus menumpukan usaha ke arah pertumbuhan jangka panjang yang stabil merentasi semua segmen seperti pembangunan hartanah, pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Pada April lalu, Sunsuria telah menandatangani kerjasama strategik bersama Kwasa Development (13) Sdn Bhd, anak syarikat Kwasa Land Sdn Bhd, untuk membangunkan projek kediaman baharu di Kwasa Damansara, Selangor.

Projek itu bakal melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM492 juta, dengan 520 unit rumah bertanah dan kondominium akan ditawarkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!