Negara berhutang, anak muda menanggung

Keadaan semasa turut menyaksikan generasi muda berdepan cabaran gaji tidak setimpal dengan kos sara hidup, peluang pekerjaan tidak stabil dan impian memiliki rumah yang semakin mustahil dicapai - Gambar hiasan
Keadaan semasa turut menyaksikan generasi muda berdepan cabaran gaji tidak setimpal dengan kos sara hidup, peluang pekerjaan tidak stabil dan impian memiliki rumah yang semakin mustahil dicapai - Gambar hiasan
A
A
A

SITUASI hutang negara yang membimbangkan bukan sahaja memberi tekanan kepada ekonomi tetapi turut menzahirkan impak signifikan terhadap generasi muda yang bakal ‘mewarisi’ tanggungan tersebut.

Menurut Kementerian Kewangan, setakat akhir Jun 2024, hutang langsung kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.227 trilion. Ia menunjukkan peningkatan berbanding RM1.17 trilion pada akhir 2023.

Namun, apabila mengambil kira liabiliti luar jangka, jumlah keseluruhan hutang dan liabiliti kerajaan boleh melebihi RM1.5 trilion bersamaan kira-kira 82 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Sementara hutang negara terus meningkat, hutang isi rumah juga mencetuskan kegusaran yang nyata. Dilaporkan, hutang isi rumah negara berjumlah RM1.63 trilion setakat akhir Disember 2024 bersamaan 84.2 peratus daripada KDNK.

Bagi generasi muda, kesan langsung hutang negara yang tinggi bukan sahaja boleh menjadi beban kewangan yang merunsingkan tetapi ia juga melibatkan masa depan ekonomi mereka secara menyeluruh.

Antara kesan paling ketara ialah tekanan terhadap dasar fiskal apabila perbelanjaan kerajaan terpaksa disalurkan untuk membayar faedah hutang dan bukannya kepada sektor penting seperti pendidikan, kesihatan serta subsidi. Tidak hanya itu, generasi muda juga akan mewarisi ekonomi kurang fleksibel dengan ruang fiskal yang sempit untuk pelaburan masa depan.

Lebih menyedihkan, keadaan semasa turut menyaksikan generasi muda berdepan cabaran gaji tidak setimpal dengan kos sara hidup, peluang pekerjaan tidak stabil dan impian memiliki rumah yang semakin mustahil dicapai.

Kesemua itu berlaku dalam suasana ekonomi negara yang dibayangi hutang tinggi dan kebergantungan terhadap pinjaman baharu. Namun, masih belum terlambat untuk menyelamatkan nasib generasi muda.

Berdasarkan perkongsian Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, terdapat beberapa langkah yang boleh membantu mengatasi cabaran tersebut.

Artikel Berkaitan:

Antaranya, melaksanakan langkah konsolidasi fiskal - perbelanjaan yang tidak mendatangkan produktiviti perlu diperbetulkan, contoh subsidi bersifat pukal dan pembaziran dalam perbelanjaan.

Selain itu, perlu memastikan ekonomi bayangan atau ekonomi tidak formal yang tidak menyalahi undang-undang dapat diputihkan agar sektor berkenaan didaftarkan dan membayar segala bentuk cukai berkaitan.

Contoh ekonomi bayangan yang tidak menyalahi undang-undang seperti perniagaan kecil yang tidak didaftarkan, pekerja sambilan atau pekerja gig. Dikatakan, nilai ekonomi bayangan adalah lebih kurang RM300 bilion setahun.

Pada masa sama, kegiatan rasuah perlu dibendung dan produktiviti dalam kalangan penjawat awam harus dipantau. Hal itu bagi membolehkan jentera kerajaan dapat berfungsi secara efektif dan memberi perkhidmatan yang baik kepada masyarakat termasuk golongan peniaga serta pelabur.

Langkah tersebut akan meningkatkan produktiviti negara, sekali gus dapat meningkatkan hasil negara dan membantu mengurangkan defisit fiskal serta hutang negara. Seterusnya, perlu memastikan program pembangunan kapasiti sampai kepada golongan sasaran.

Ramai generasi muda mahu berniaga dan kerajaan melalui kementerian serta agensi berkaitan banyak memberikan bantuan seperti latihan, geran serta subsidi bagi menjayakan aktiviti keusahawanan.

Jika semua langkah tersebut dapat dilaksanakan dengan betul, ia sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan daya saing anak muda. Sebaliknya, tanpa tindakan proaktif, golongan muda berisiko terus terperangkap dalam kitaran hutang berpanjangan, selain menjejaskan kestabilan kewangan peribadi dan ekonomi negara.

Paling penting, kunci untuk mengelak generasi muda daripada menanggung beban hutang negara memerlukan usaha bersama yang kuat antara kerajaan, institusi kewangan dan masyarakat.

Liza Mokhtar ialah wartawan Sinar Harian Meja Bisnes

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!