Soloz harap anak muda jadikan kisah hidupnya pengajaran

Soloz mengakui dunia e-sukan bukan semudah disangka.
Soloz mengakui dunia e-sukan bukan semudah disangka.
A
A
A

IKON e-Sukan dan media sosial terkenal, Soloz berharap kisah hidupnya yang diangkat ke layar perak menerusi Soloz: Game of Life arahan Syafiq Yusof dapat memberikan pengajaran kepada generasi muda.

Ujar Soloz atau nama sebenarnya Muhammad Faris Zakaria, 31, berkata, dia sebelum ini menerima pelbagai mesej dan e-mel daripada ibu bapa yang memintanya menasihati anak-anak mereka agar tidak lalai bermain permainan video dan memberi tumpuan kepada pelajaran.

"Ramai anak muda menjadikan saya sebagai ikon e-Sukan sehingga ada yang memberitahu ibu bapa, mereka tidak mahu belajar kerana percaya bermain permainan video seperti saya juga boleh berjaya.

"Jadi ramailah ibu bapa yang minta saya nasihatkan anak mereka. Kalau satu dua mesej bolehlah saya balas, bila banyak saya tidak larat juga nak balas satu persatu.

"Bila Syafiq beritahu berminat untuk filemkan kisah hidup saya dan lihat boleh memberi manfaat kepada generasi muda, saya ikut dan harap filem ini dapat menunjukkan realiti dunia e-sukan," ujarnya.

Soloz berkata demikian ketika ditemui pada malam gala Soloz: Game of Life di GSC The Starling, Damansara baru-baru ini.

Akui Soloz, sejak dahulu lagi dunia e-sukan atau permainan video ini sering dilihat sebagai membuang masa tetapi selari dengan teknologi masa kini ibu bapa tahu bagaimanapun untuk mengendalikan anak-anak yang asyik dengan permainan video.

Contohnya menetapkan syarat yang bersesuaian sebelum membenarkan anak-anak bermain permainan video.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, Soloz mengingatkan generasi muda untuk tidak sesekali mengabaikan pelajaran kerana pada akhirnya permainan video hanyalah sekadar hiburan.

"Generasi hari ini sering mencari jalan mudah. Apabila mereka melihat bermain 'game' boleh menjana pendapatan, mereka terus ingin mencubanya tanpa memikirkan cabarannya.

"Saya selalu ingatkan mereka, meskipun saya berjaya dalam e-Sukan, saya tetap belajar. Anda perlukan ilmu untuk meneruskan kehidupan. Sekurang-kurangnya dengan pendidikan, mereka mempunyai asas yang kukuh untuk menjalani kehidupan.

"Bermain 'game' ini seperti bola sepak; daripada 100 orang, tidak semua akan berjaya. Bukan mudah untuk jana pendapatan kerana kita perlu memenangi banyak pertandingan," katanya yang menetapkan syarat Syafiq tidak memasukkan kisahnya membeli kereta mewah Ford Mustang pada 2020 sebagai sebahagian jalan cerita filem.

Filem Soloz: Game Of Life mengangkat kisah benar perjalanan hidup serta jerih-perih Soloz sebelum bergelar ikon e-Sukan negara.

Filem yang bakal menjengah pawagam bermula esok dibintangi pelakon hebat seperti Hun Haqeem, Ikmal Amry, Noki K-Clique, Syafie Naswip, Hafeez Mikail dan ramai lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!