Pengunjung persoal jeti rosak, dakwa pembaziran

Struktur jeti di Taman Laut Pulau Nangka yang mengalami kerosakan akibat dipukul ombak.
Struktur jeti di Taman Laut Pulau Nangka yang mengalami kerosakan akibat dipukul ombak.
A
A
A

Pulau Nangka, yang diwartakan sebagai Taman Laut Negara sejak April 2023 bersama dua lagi pulau di Melaka, sepatutnya menjadi tarikan baharu pelancongan marin. Namun, pembinaan jeti bernilai RM460,000 di pulau itu kini mengundang persoalan selepas runtuh dalam tempoh kurang dua tahun.

Pengunjung dan penduduk setempat meluahkan rasa kecewa terhadap mutu pembinaan yang didakwa tidak mengambil kira faktor arus laut kuat. Keadaan ini bukan sahaja menyusahkan pelancong, malah mencemarkan pemandangan kawasan perlindungan tersebut.

Ikuti laporan wartawan Sinar Harian NOR FARHANA YAACOB menyingkap keluhan pengunjung dan penduduk setempat berhubung isu berkenaan.

Pulau Nangka merupakan antara tiga pulau yang diwartakan sebagai Taman Laut Negara pada 4 April 2023 bagi memperkasakan sektor pelancongan negeri ini, khususnya dalam aktiviti riadah dan marin termasuk menyelam skuba.

Namun, pembinaan jeti di pulau berkenaan bagi memberi kemudahan kepada pengunjung, dipercayai runtuh dan mengalami kerosakan teruk walaupun belum mencecah usia dua tahun. Projek tersebut melibatkan kos sebanyak RM460,000.

Keadaan struktur dan beberapa bahagian jeti di pulau itu yang berselerak biarpun didakwa tidak sampai dua tahun tempoh pembinaannya.
Keadaan struktur dan beberapa bahagian jeti di pulau itu yang berselerak biarpun didakwa tidak sampai dua tahun tempoh pembinaannya.

Pengunjung ke Taman Laut Pulau Nangka mempersoalkan keadaan jeti sepanjang 75 meter itu yang dikatakan ‘cacat’ kerana rosak teruk dalam tempoh yang singkat sejak pembinaannya.

Seorang pengunjung, Abdul Rashid berkata, pembinaan jeti tersebut sepatutnya mengambil kira faktor geografi serta kekuatan arus laut yang sememangnya tidak sesuai untuk struktur berkenaan.

“Agak malang apabila kemudahan yang menelan kos ratusan ribu ringgit ini tidak lagi boleh digunakan.

Artikel Berkaitan:

“Sepatutnya kajian terperinci dilakukan terlebih dahulu, terutama berkaitan kekuatan arus, kerana kawasan ini memang berarus kuat dan tidak sesuai untuk binaan jeti jenis itu,” katanya.

Bagi Rahmad Ibrahim, jeti yang rosak dalam tempoh singkat itu merupakan satu pembaziran yang mencacatkan pemandangan dan menyusahkan pengunjung.

“Struktur jeti ini musnah akibat dipukul ombak dan arus laut, sedangkan ia belum pun digunakan selama dua tahun.

“Ketiadaan jeti menyukarkan pengunjung untuk naik ke pulau, lebih-lebih lagi ketika air surut,” katanya.

Sementara itu, seorang nelayan yang hanya mahu dikenali sebagai Rahim berkata, jeti lain yang dibina di Pulau Lalang turut musnah akibat faktor alam, manakala hanya jeti di Pulau Besar masih kekal kerana kedudukannya yang terlindung daripada tiupan angin dan arus laut.

“Disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu, jeti kini tidak lagi kelihatan dan serpihannya dipercayai telah dibawa arus ke lokasi lain.

“Jika keadaan begini berterusan, lebih baik peruntukan digunakan bantu golongan memerlukan daripada membina kemudahan yang akhirnya rosak,” ujarnya.

Tinjauan di lokasi mendapati struktur jeti yang terletak dalam kawasan perlindungan Taman Laut itu runtuh sepenuhnya, manakala persekitarannya kelihatan terbiar dan dipenuhi sampah.

Difahamkan, jeti tersebut merupakan sebahagian daripada kemudahan yang dibangunkan susulan pewartaan Taman Laut Melaka, melibatkan tiga pulau iaitu Pulau Nangka, Pulau Lalang dan Pulau Undan.

Jeti di Pulau Besar didakwa turut mengalami beberapa beberapa kerosakan akibat arus air laut dan ombak.
Jeti di Pulau Besar didakwa turut mengalami beberapa beberapa kerosakan akibat arus air laut dan ombak.

Jabatan Perikanan akan bina jeti konkrit

Jabatan Perikanan Malaysia Negeri Melaka memberitahu bahawa pihaknya mengambil maklum berkenaan kerosakan jeti di Pulau Nangka.

Dalam kenyataan rasmi, jabatan tersebut menyatakan bahawa kerja-kerja memindahkan struktur platform dan tiang sedia ada ke lokasi lain akan dilakukan pada awal Jun, bagi mengelakkan gangguan terhadap keselamatan pengunjung dan laluan bot ke pulau itu.

“Pihak jabatan juga dalam perancangan untuk membina jeti baharu menggunakan struktur konkrit menerusi peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” katanya.

Tambah kenyataan itu, perbincangan dengan agensi kerajaan negeri berkaitan akan diadakan bagi merealisasikan pembinaan jeti konkrit yang lebih tahan cuaca dan arus laut.

DR MUHAMAD AKMAL
DR MUHAMAD AKMAL

Sementara itu, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh ketika dihubungi berkata, jeti tersebut telah melalui dua kali kerja pengubahsuaian, namun tetap mengalami kerosakan disebabkan ribut dan ombak kuat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!