Kapibara, 9 ekor ular tarikan baharu Zoo Taiping

TAIPING - [DIKEMASKINI] Zoo Taiping & Night Safari tampil dengan dua tarikan baharu menampilkan pelbagai spesies ular dan kapibara buat pengunjung tahun ini.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, haiwan tersebut merupakan tarikan baharu melibatkan 10 unit Rumah Reptilia dan satu unit amfibia serta Pameran Warna Warni Amazon.
Katanya, kedua-dua tarikan baharu itu bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina 2025 yang juga merupakan Tahun Ular dalam kalendar zodiak Cina serta cuti sekolah.

"Rumah Reptilia dan Rumah Amfibia menghimpunkan koleksi spesies dari pelbagai habitat bagi memberikan peluang kepada pelawat untuk mengenali keunikan haiwan-haiwan ini dengan lebih dekat.
"Pameran kedua adalah Pameran Warna Warni Amazon. Pameran ini membawa pelawat merasai keindahan dan keunikan spesies dari lembah Amazon yang terkenal dengan biodiversitinya," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Penuh MPT di Wisma Perbandaran Taiping di sini pada Rabu.
Khairul Amir berkata, antara spesies yang dipamerkan di Rumah Reptilia dan Amfibia itu termasuklah ular boa, ular daun, ular punti, ular laju ekor merah, corn snake, ular senduk, ular tedung selar, ular sawa resam, ular kapak tokong, Weber's Saiflin Lizard serta Asian River Toad.

Menurutnya, bagi pameran Warna Warni Amazon pula, selain kapibara, orang ramai boleh melihat secara dekat Orange-winged Amazon, Black-bellied Whistling Duck dan ibis merah.
Jelasnya, pembukaan dua tarikan itu merupakan sebahagian usaha Zoo Taiping & Night Safari untuk memupuk kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan spesies reptilia, amfibia dan haiwan tropika yang semakin terancam.
Katanya, pameran tersebut diharap dapat meningkatkan minat pelawat terhadap biodiversiti dan kepentingan menjaga ekosistem alam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

