Sarjan, koperal didakwa ugut pegawai khas Exco Pulau Pinang

GEORGE TOWN - Dua anggota polis berpangkat sarjan dan koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memeras ugut RM1,000 daripada pegawai khas kepada seorang Exco Kerajaan Negeri pada Mac lalu.
Shahrizal Ali, 46 dan Fadzli Jamaludin, 34, yang bertugas di Ibupejabat Polis Daerah Timur Laut dituduh secara bersama dengan sengaja telah melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakukan kepada Mandy Leow Zhia Hooi, 31, berhubung risiko ditangkap oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pemerasan itu telah mendorong mangsa menyerahkan wang tunai bernilai RM1,000 kepada tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi jalan di Jalan Anson, di hadapan Persatuan Buddha Pulau Pinang, pada jam 2.25 pagi, 14 Mac lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Bagi Seksyen 384 Kanun Keseksaan, ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda, sebatan atau mana-mana kombinasi hukuman tersebut jika sabit kesalahan.
Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad menawarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Peguam K Mahendran yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan yang lebih rendah berikutan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga.
"Kedua-dua anak guam saya mempunyai tanggungan keluarga yang mana, Shahrizal mempunyai enam anak dengan gaji bulanan RM4,000.
"Sementara Fadzli mempunyai tiga anak dengan gaji bulanan RM2,000. Kedua-dua mereka ini telah diberi jaminan polis pada 24 April lalu selain mereka hadir ke mahkamah secara sukarela pada hari ini, menunjukkan mereka memberi kerjasama penuh terhadap kes ini
"Oleh itu, saya mohon satu jaminan yang rendah terhadap kedua-dua mereka," katanya.
Nadratun Naim kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh selain tertuduh dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selelsai.
Kes ditangguh sehingga 24 Jun untuk sebutan semula.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

