Dua anggota polis, bekas polis dituduh terima rasuah RM20,000

Ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima suapan RM20,000 di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis.
Ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima suapan RM20,000 di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis.
A
A
A

IPOH – Dua anggota polis dan seorang bekas polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM20,000 dua tahun lalu.

Tertuduh, bekas Lans Koperal Ahmad Rabani Rusnizal, 29; Koperal Wan Mohd Nor Imran Wan Seman, 35; dan Koperal Mohamad Shukre Mohamed Rowi, 37, yang bertugas di Unit Cawangan Pencegahan Jenayah, Balai Polis Merbok, Kedah, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, mereka didakwa dengan niat bersama secara rasuah memperoleh suapan, iaitu wang sebanyak RM20,000 melalui dua kali pindahan wang daripada akaun milik Azizi Norhafizi Abu Bakar ke akaun Ahmad Rabani, sebagai suatu dorongan kerana tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan memiliki dadah jenis syabu, yang merupakan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengikut pertuduhan, kesalahan itu dilakukan di BSN-CPI Kamunting, Perak dalam Daerah Larut, Matang dan Selama, kira-kira jam 3 pagi pada 24 dan 25 Julai 2023.

Perbuatan tersebut merupakan kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan serta boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pihak pendakwaan diketuai oleh Pegawai Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Zulfadli Azharudin, yang menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 kepada setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Namun begitu, peguam kepada ketiga-tiga tertuduh, Siti Salwa Ja’afar merayu agar jumlah jaminan dikurangkan atas alasan kesemua tertuduh mempunyai tanggungan dan memberikan komitmen untuk hadir ke mahkamah.

Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin, serta mewajibkan mereka melapor diri pada Ahad pertama setiap bulan di Pejabat SPRM Sungai Petani sehingga perbicaraan selesai.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah turut menetapkan 26 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!