Warga emas terlantar, anak pula hidap ketumbuhan otak

Siti Esah (kiri) bersama dua cucu yang sentiasa menemaninya.
Siti Esah (kiri) bersama dua cucu yang sentiasa menemaninya.
A
A
A

PASIR MAS - Seorang warga emas yang mengerah kudrat menjaga empat cucu selepas kematian ibu mereka lima tahun lalu, kini hanya mampu terlantar selepas diserang angin ahmar.

Keadaan kesihatan Siti Esah Hamzah, 70, semakin merosot apabila turut menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi, menyebabkan berat badannya semakin menyusut.

Lebih memilukan, anak bongsunya, Arsham Abdullah, 45, pula bergelut dengan ketumbuhan otak sejak lebih 10 tahun lalu.

"Ibu saya kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan cucu-cucu yang berusia antara 14 hingga 21 tahun untuk mengurus keperluan hariannya," katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Jejuluk pada Ahad.

Arsham memberitahu, kesemua anak saudaranya tinggal bersama ibunya selepas kakaknya, Allahyarham Azni Abdullah meninggal dunia akibat komplikasi kencing manis kronik ketika berusia 45 tahun.

“Alhamdulillah, mereka sudah boleh berdikari dan banyak membantu menjaga nenek mereka.

“Hanya yang bongsu masih bersekolah dalam Tingkatan Dua, manakala abang kedua bekerja kampung untuk membantu adik-beradik lain,” katanya.

Arsham turut melahirkan rasa syukur kerana ibunya menerima bantuan bulanan sebanyak RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), yang sedikit sebanyak membantu menampung perbelanjaan harian.

Arsham
Arsham

Artikel Berkaitan:

Berkongsi mengenai keadaannya pula, Arsham berkata, ketumbuhan yang dialaminya menyebabkan beliau mudah terkena sawan dan terpaksa berulang-alik ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk rawatan susulan.

Menurutnya, pembedahan membuang ketumbuhan di kepala telah dilakukan tujuh tahun lalu, namun doktor memaklumkan beliau perlu menjalani prosedur sama sekali lagi pada tahun ini.

Bagaimanapun, katanya, doktor menyarankan penggunaan ubat berharga lebih RM6,000 dan beliau kini berharap permohonan bantuan melalui JKM diluluskan.

Disebabkan masalah kesihatan tersebut, Arsham yang dahulunya berniaga di pasar malam kini tidak mampu lagi melakukan kerja berat dan hanya bergantung kepada bantuan JKM sebanyak RM250 sebulan.

“Saya juga tidak dapat memandu dan memerlukan bantuan ahli keluarga untuk ke hospital setiap kali ada janji temu,” katanya.

Arsham berharap masa depan anak-anak saudaranya akan berubah dan menganggap ujian yang menimpa keluarganya sebagai dugaan sementara daripada ALLAH SWT.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan melalui Bank Islam di nombor 03027020702108 atas nama Arsham Abdullah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!