Indonesia sambut Aidiladha 6 Jun, sehari lebih awal dari Malaysia, Singapura

JAKARTA - Umat Islam di Indonesia akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada 6 Jun ini, menurut Menteri Agama Nasaruddin Umar.
Beliau mengumumkan perkara itu selepas selesai mengadakan persidangan isbat untuk menentukan 1 Zulhijah 1446H dan Hari Raya Aidiladha di kementeriannya pada Selasa malam.
"Berdasarkan laporan yang diterima, disepakati bahawa tarikh 1 Zulhijah jatuh pada Rabu, 28 Mei 2025 dan 10 Zulhijah atau Aidiladha pada Jumaat, 6 Jun 2025,” katanya dalam kenyataan.
Berdasarkan pengumuman itu, Indonesia bakal merayakan Aidiladha sehari lebih awal dari negara jiran Malaysia dan Singapura.
Sementara itu, umat Islam di Kemboja akan menyambut Aidiladha pada 7 Jun.
Pengerusi Majlis Tertinggi Hal Ehwal Agama Islam di Kemboja, Kamaruddin Yusof, mengumumkan tarikh itu pada petang Selasa.
Hampir 800,000 umat Islam di Kemboja menyambut Aidiladha.
Pada masa yang sama, Malaysia dan Singapura turut mengumumkan bahawa umat Islam di kedua-dua negara itu akan meraikan sambutan Aidiladha pada 7 Jun. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
