Sunyi, hilang kawan selepas bersara

Lepas bersara, kawan hilang perlahan-lahan. Foto dijana oleh AI.
Lepas bersara, kawan hilang perlahan-lahan. Foto dijana oleh AI.
A
A
A

KOTA BHARU - Persaraan bukan sahaja menamatkan perkhidmatan yang sekian lama menjadi punca rezeki, malah menghentikan banyak rutin kehidupan harian yang selama ini dianggap biasa.

Bagi Zaman Huri Isa, 59, tempoh dua tahun pertama selepas bersara awal pada usia 55 tahun menjadi antara waktu paling mencabar dalam hidupnya.

“Awalnya memang seronok sebab bebas dan tiada komitmen kerja.

“Tetapi apabila semua kawan-kawan yang biasa keluar minum bersama mula hilang seorang demi seorang, rasa sunyi itu makin dalam,” katanya kepada Sinar Harian.

Zaman berkata, beliau pada mulanya tidak merancang sebarang aktiviti sebaik bersara kerana hanya mahu berehat dan menikmati kehidupan tanpa tekanan.

Namun perasaan sunyi dan bosan yang berpanjangan menyebabkan dia memilih untuk menjadi pemandu perkhidmatan e-hailing.

“Dulu masa kerja sebagai jurugambar, setiap hari bertemu dengan kawan baharu dan persekitaran yang meriah.

“Lepas bersara, sekeliling jadi terlalu senyap. Jadi saya ambil keputusan bawa penumpang, sekurang-kurangnya saya ada tempat pergi dan orang untuk bercakap,” katanya.

Menurutnya, beliau tidak menghadapi sebarang kekangan kewangan kerana wang persaraan digunakan untuk melunaskan hutang rumah dan kereta, selain mempunyai isteri yang masih bekerja sebagai guru.

Artikel Berkaitan:

“Dua daripada empat anak saya masih di universiti, tetapi mereka dapat biasiswa dan dua lagi dah bekerja.

“Saya kerja sekarang bukan sebab duit, tapi sebab nak keluar dari rasa sunyi dan berjumpa dengan orang ramai,” katanya.

Bagi Zaman, cadangan menaikkan umur persaraan kepada 65 tahun tidak sesuai dilaksanakan secara menyeluruh kerana tidak semua jenis pekerjaan mampu ditanggung oleh individu berusia.

“Kalau kerja pejabat, mungkin boleh. Tapi kerja macam saya dulu yang kena turun padang dan tahan tekanan, lebih baik dilepaskan kepada orang muda,” katanya.

Dia turut menasihatkan golongan bakal pesara agar merancang kewangan dengan baik dan tidak terlalu leka ketika menerima wang ganjaran persaraan.

“Ramai fikir lepas dapat duit banyak, hidup akan senang. Tapi kalau tak pandai urus, boleh habis dalam masa singkat.

“Pencen bukan penamat, tapi permulaan hidup yang baru dan kalau tak bersedia, boleh jadi sangat menyesal,” katanya.


Rancang kewangan sebelum bersara kunci hidup tenang

SHAH ALAM - Membuat perancangan awal bagi mencapai kestabilan dalam kewangan merupakan kunci utama untuk menikmati kehidupan yang tenang tanpa sebarang tekanan selepas bersara.

Bagi seorang pesara kerajaan, Jariah Salam, 64, rancangan untuk menghadapi kehidupan selepas bersara telah dibuat seawal lima tahun sebelum tempoh persaraan yang sebenar.

Jariah
Jariah

Menurut bekas jururawat U32 itu, persaraan dianggap sebagai satu permulaan kepada fasa baharu dan perancangan itu dibuat demi mencari ketenangan mental serta fizikal yang sukar diperoleh ketika masih aktif bekerja.

“Selepas pencen, tiada lagi bebanan yang perlu saya tanggung terhadap komitmen kerja, ia memberikan saya kebebasan dan ruang untuk benar-benar berehat dan menumpukan kepada diri sendiri, anak-anak pun sudah besar.

“Kehidupan harian saya sekarang fleksibel dan saya juga lebih tenang. Saya hanya menggunakan usia senja untuk berehat di rumah, keluar berjalan-jalan serta bersantai untuk mengisi masa lapang.

“Selepas pencen, saya tidak membuat sebarang pekerjaan lain kerana mahu memberikan sepenuh perhatian terhadap urusan rumah tangga kerana saya anggap selepas bersara adalah masa untuk keluarga dan diri sendiri,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Tambah ibu kepada tiga anak dan kini mempunyai dua cucu itu, beliau tidak menghadapi sebarang masalah kewangan selepas bersara berikutan perancangan kewangan yang telah dibuat awal.

Mengulas mengenai cadangan untuk menaikkan umur persaraan kepada 65 tahun, beliau berkata, langkah itu tidak relevan memandangkan tahap fizikal individu tidak lagi cergas dan boleh menjadi beban kepada tenaga kerja muda.

“Pencen awal adalah lebih baik, beri peluang kepada golongan muda pula untuk mengisi kekosongan jawatan dan menyumbang tenaga serta idea baharu dalam sektor pekerjaan.

“Saya tidak rasa kebanyakan masih mampu untuk bekerja selepas umur 60 tahun. Saya memilih untuk bersara awal ketika usia 58 tahun kerana tahu saya tidak cergas lagi seperti dahulu.

“Pada 2020, saya pernah diberi tawaran untuk berkhidmat semula ketika fasa pandemik Covid-19 tetapi saya tidak lagi produktif dan mampu bekerja seperti usia muda," ujarnya.

Dalam pada itu, Jariah turut menasihatkan kepada golongan yang sedang menghampiri usia persaraan agar membuat persiapan rapi terutama mengenai hal pemilikan aset seperti kenderaan dan rumah.

Ujarnya, aset itu sebaiknya perlu disediakan dan hutang tersebut dilunaskan sebelum bersara supaya tidak menjadi beban kewangan ke usia tua.

"Tanpa hutang, kehidupan selepas pencen akan lebih mudah dan tenang. Itulah nikmat sebenar bersara," katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!