'Kami bertindih, saya sedar berada di atas tubuh kawan-kawan'

IPOH – "Kami bertindih antara satu sama lain, saya berada di atas kawan-kawan," itu gambaran diberikan salah seorang mangsa yang terselamat dalam nahas tragis membabitkan konvoi kenderaan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang mengorbankan sembilan nyawa itu pada 13 Mei lalu.
Koperal Nizam Tarmizi, 38, antara yang terselamat berkata dia hanya sedar selepas dentuman kuat dan mendapati dirinya terbaring di atas tubuh rakan-rakan setugas yang lain.
Menurutnya, sebelum kejadian, mereka sedang santai dalam kenderaan tersebut sebelum secara tiba-tiba terasa hentakan kuat.
“Masa dentuman tu saya dengar kawan-kawan sebut ‘Allahuakbar’ dan selepas itu saya terus pengsan.
“Bila sedar, saya tengok keadaan kawan-kawan saya. Ada yang dah tak sedarkan diri, termasuk arwah Koperal Amir (Amiruddin Zabri), kakinya longlai dan muka penuh darah,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kuarters FRU Unit 5, Sungai Senam di sini pada Khamis.
Jelasnya, dalam keadaan masih mamai ketika dikeluarkan oleh rakan-rakan yang datang menyelamat penglihatannya samar-samar ketika kejadian berlaku.

“Saya berada di belakang sekali dalam kenderaan. Mungkin itu yang menyelamatkan saya. Tapi kawan-kawan di depan semua tertindih, sebab kami 18 orang dalam satu kenderaan.
“Kalau satu orang hempap pun dah cukup berat, ini bertindih beramai-ramai, sebab itu ramai yang cedera parah,” ujarnya.
Nizam berkata, mereka bertolak dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak sekitar jam 8.30 pagi selepas selesai tugasan kawalan keselamatan, dan tidak menyangka perjalanan itu berakhir dengan tragedi.
Katanya, kenangan terakhir bersama rakan-rakan yang meninggal dunia masih segar dalam ingatannya.
“Arwah Wafi (Konstabel Akmal Wafi Annuar) sempat rakam video kami dalam lori. Saya sempat bergurau dengan arwah Pozli (Koperal Mohd Pozli Jaudin), kata ambil gambar banyak-banyak sebab lepas ini susah nak keluar bersama troop (pasukan) C lagi.
“Mereka juga sempat main bola tampar pagi tu, main bertiga saja. Kawan-kawan sempat gurau kata macam buang tabiat,” ceritanya.
Tambah Nizam, kejadian itu benar-benar meninggalkan kesan kerana arwah-arwah merupakan antara rakan paling rapat dan aktif dalam aktiviti sukan.
“Sekarang ni bila tengok balik video, memang rasa sebak. Tak ada dah orang nak ajak main bola tampar. Kalau dulu siang malam kami main,” katanya.
Beliau yang kini masih bercuti sakit berkata sudah berkhidmat di FRU Unit 5 sejak 2015, dan sebelum itu bertugas di Kelantan sejak 2006.
Nizam berasal dari Changkat Lada, Perak Tengah dan menetap bersama isterinya, Zanani Azma Abdullah, 39, serta tiga anak berusia antara dua hingga 15 tahun.
Dalam kejadian jam 8.50 pagi itu, trak FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam ke Ipoh selepas selesai bertugas sempena perayaan Chitrapournami bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu kerikil.
Lapan anggota maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di HTI sementara lapan lagi anggota mengalami kecederaan dan dirawat di hospital sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!