Malaysia terajui ASEAN ke Kejohanan Memanah Dunia 2025 di Hungary

KUALA LUMPUR - Malaysia kini menerajui langkah serantau dalam memperkasa sukan warisan apabila melancarkan kempen “Road to World Historical Archery Championships 2025” yang bakal menyaksikan penyertaan pasukan kolektif ASEAN di kejohanan berprestij itu di Gyula, Hungary pada 20 hingga 26 Ogos ini.
Pelancaran inisiatif tersebut diketuai oleh HDH Archery Malaysia, bersempena kepengerusian Malaysia dalam ASEAN 2025 menyatukan warisan budaya dan diplomasi sukan dalam memartabatkan sukan memanah bersejarah ke peringkat global.
Ia juga menandakan sejarah baharu apabila ASEAN buat julung kali akan menghantar satu pasukan gabungan serantau ke kejohanan dunia itu, melibatkan lebih 200 pemanah dari 10 negara.
Selama sedekad lalu, Malaysia dan Hungary menjalin hubungan rapat melalui diplomasi sukan warisan ini, yang turut meraikan ulang tahun ke-10 pertukaran budaya dua hala pada tahun ini.
Duta Hungary ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Dr Petra Ponevacs-Pana menyifatkan ASEAN sebagai simbol diplomasi moden yang mencerminkan kekuatan nilai budaya bersama.

“Kami mengalu-alukan kehadiran pasukan ASEAN di Gyula 2025 dan berbangga menyokong acara ini sebagai jambatan perpaduan serantau,” ujarnya dalam ucapan pelancaran program berlangsung di Taman Rimba Kiara di sini.
Selari dengan keutamaan ASEAN 2025, program Keluarga Angkat Pemanah ASEAN (KAPA) turut diumumkan.
Inisiatif ini mempertemukan pemanah ASEAN dengan keluarga angkat di Hungary untuk menggalakkan pertukaran budaya dan persahabatan rentas negara.
Malaysia turut diumumkan sebagai Pengerusi Memanah Bersejarah ASEAN, mengukuhkan lagi peranan negara dalam pembangunan sukan warisan ini di peringkat serantau.
Usaha ini turut disokong dengan penerbitan rasmi buku peraturan HDH-IAA dalam Bahasa Malaysia bagi meningkatkan pemahaman dan pematuhan di kalangan pemanah rantau ini.
Dalam pada itu, satu program latihan pengadilan turut dilaksanakan bagi melahirkan barisan pengadil bertauliah ASEAN yang selaras dengan piawaian antarabangsa.
Kejayaan lain yang dicapai termasuk pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara negara anggota ASEAN di bawah HDH-IAA dalam Mesyuarat Agung HDH-ASEAN pertama, menandakan kerjasama jangka panjang dalam latihan, pertandingan dan perwakilan antarabangsa.
Malaysia juga akan menganjurkan Kejohanan Memanah Bersejarah ASEAN HDH 2026 pertama, yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Ia dijangka menjadi acara tahunan tetap yang mempromosikan pelancongan sukan warisan serantau.
Turut diperkenalkan ialah format baharu, Sasaran Khas 3D Kuala Lumpur (FSK3DKL) yang dibangunkan oleh Presiden Persatuan Memanah Tradisional Kuala Lumpur (PMTKL), Mohd Fadli Adha Mohd Rashid dan Pengerusi Kelab Pemanah DBKL (KPDBKL), Azmanizam Aziz, sebagai penyesuaian tempatan terhadap peraturan antarabangsa yang menjamin keterangkuman dan daya saing tempatan.
Terima kasih juga kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif atas penyediaan fasiliti sukan terbaik, kelengkapan logistik, kemudahan taman awam yang kondusif untuk warga kota.
Penganjur turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan serta DBKL atas sokongan padu terhadap kejohanan yang turut melibatkan penyertaan komuniti akar umbi melalui kerjasama Yayasan KIDS.
Pengarah Eksekutif dan Presiden HDH Archery Malaysia, Anuar Mat Saat, berkata kejohanan ini menjadi wadah menyatukan budaya, pelancongan dan diplomasi serantau.
“Sukan warisan ini bukan sahaja memupuk kecemerlangan, malah mengukuhkan semangat kebersamaan dan empati ASEAN. Malaysia komited menjadikan 2025 sebagai tahun transformasi bagi sukan warisan ini di peringkat dunia,” ujarnya.
Dengan slogan “Memanah Warisan Menyatukan ASEAN”, inisiatif ini bukan sekadar membawa panah ke sasaran, malah menyatukan negara melalui warisan budaya yang dikongsi bersama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

