Perluas kumpulan sasaran program makanan sekolah

Program makanan sekolah memberi manfaat kepada kesihatan dan pendidikan kanak-kanak. Gambar kecil: Jarud Romadan
Program makanan sekolah memberi manfaat kepada kesihatan dan pendidikan kanak-kanak. Gambar kecil: Jarud Romadan
A
A
A

PROGRAM Sarapan Percuma (PSP) yang dilancarkan Kementerian Pendidikan adalah memberi sarapan percuma kepada pelajar miskin di sekolah rendah kerajaan.

Reka bentuk PSP banyak mengambil inspirasi daripada program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang sudah lama dijalankan.

Bezanya, dalam PSP, makanan yang diberi lebih cepat disediakan dan lebih mudah dimakan, makanan hanya boleh diberi sebelum sesi pembelajaran bermula dan jumlah penerima merangkumi pelajar di bawah garis kemiskinan berbanding kemiskinan tegar di bawah RMT.

Selain itu, PSP juga serupa dengan RMT. Pendekatan PSP adalah membantu pelajar miskin yang tidak berkemampuan untuk makan dan mendapat tenaga secukupnya sepanjang sesi pembelajaan di sekolah.

Kajian menunjukkan bahawa pelajar yang lapar akan lebih cenderung untuk berprestasi rendah.

Menurut data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2017, seorang daripada sepuluh murid Darjah Empat hingga Tingkatan Lima tidak mengambil sarapan.

Masalah itu sering dikaitkan dengan ketidakmampuan keluarga untuk membeli makanan, namun data menunjukkan bahawa sebab utama tidak makan sarapan bukan disebabkan tiada makanan di rumah tetapi kerana tidak cukup masa dan tiada selera.

Di sebalik kepesatan pembangunan Malaysia dan kejayaannya membasmi kemiskinan, masih ramai kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan.

Artikel Berkaitan:

Menurut data yang sama, satu daripada sepuluh pelajar terlalu pendek untuk umur mereka (terbantut).

Itu bukan bermaksud kanak-kanak yang tidak terbantut mendapat nutrien yang mencukupi. Impak daripada kekurangan mikronutrien penting seperti zat besi, kalsium dan vitamin tidak begitu ketara dalam pertumbuhan fizikal kanak-kanak.

Di samping masalah kekurangan zat, masalah obesiti kanak-kanak membimbangkan juga. Kadar obesiti kanak-kanak Malaysia kedua tertinggi dalam negara Asean.

Statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu tidak mengejutkan jika kita tahu tabiat makanan anak-anak kita yang kurang mengambil sayur-sayuran, buah-buahan, kekacang dan produk tenusu.

Sebaliknya, makanan segera atau yang telah siap diproses seperti sosej dan mee segera sering menjadi pilihan.

Perluaskan

Jelas masalah malnutrisi dan amalan pemakanan tidak sihat bukan terhad kepada anak-anak miskin sahaja. Ini membangkitkan persoalan sama ada program yang sedia ada dirancang sebaik-baiknya untuk membantu anak-anak kita.

Sasaran pelajar miskin dalam pelaksanaan PSP sekarang tidak menangani permasalahan yang juga dihadapi oleh pelajar di luar definisi kemiskinan.

Skop program perlu diluaskan untuk memastikan semua pelajar yang memerlukan intervensi dalam pemakanan menerima bantuan sewajarnya.

Aspek-aspek lain dalam program tersebut juga perlu diperhalusi. Contohnya, menu makanan di bawah program perlu diteliti supaya program bukan sahaja mengatasi kelaparan, tetapi juga menangani masalah kekurangan mikronutrien dan kadar obesiti yang semakin meningkat.

Selain itu, makanan yang dijual di kantin sekolah perlu dipantau. Sia-sia jika murid diberi makanan sihat di bawah program tetapi pada masa yang sama masih dapat membeli makanan tidak berkhasiat di kantin atau di luar kawasan sekolah.

Stigma masyarakat serta rasa malu dan rendah diri yang dialami pelajar miskin sehingga mengelak daripada mengambil makanan percuma juga harus diberi perhatian.

Bermula tahun 2003, sekolah-sekolah di bandar New York memberi sarapan percuma untuk semua pelajar.

Sebelum itu, sekolah mengenakan bayaran berbeza untuk makanan berdasarkan pendapatan keluarga pelajar tetapi anak daripada keluarga miskin masih diberi makanan percuma.

Kajian mendapati bahawa jumlah pelajar miskin yang makan sarapan bertambah selepas perubahan dasar.

Penemuan itu menunjukkan bahawa sebahagian murid yang layak untuk menerima sarapan percuma tidak makan apabila program hanya disasarkan kerana beberapa sebab termasuk malu dianggap sebagai miskin.

Program yang sama juga merekodkan peningkatan jumlah pelajar yang tidak miskin menyertai program.

Apabila kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang berkumpul untuk makan bersama, mereka akan bergaul sekali gus memupuk persefahaman, toleransi dan kesatuan satu sama lain.

Bukan sekadar program nutrisi

Jika dilaksanakan dengan baik, pemberian makanan yang berkhasiat di sekolah boleh mengelakkan kelaparan dan menangani malnutrisi. Secara langsung ia membantu pelajar meningkatkan tumpuan semasa pembelajaran.

Lebih daripada itu, program makanan sekolah juga berpotensi meningkatkan ekonomi masyarakat setempat terutamanya dalam sektor pertanian negara melalui pembekalan bahan makanan daripada petani tempatan.

Proses perolehan itu dapat meningkatkan pendapatan para petani serta menggalakkan penanaman sumber makanan yang berkhasiat iaitu makanan yang disyorkan pakar pemakanan untuk program makanan sekolah.

Lebihan hasil pula boleh dijual kepada orang awam, lalu meningkatkan kualiti diet dan tahap kesihatan masyarakat tempatan.

Program makanan sekolah memberi manfaat kepada kesihatan dan pendidikan kanak-kanak, selain membantu para petani dan orang awam.

Oleh itu, program makanan sekolah bukan sekadar dasar untuk membantu kanak-kanak, bahkan menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.

Ada yang mengatakan tidak adil untuk memberi sarapan percuma kepada anak tidak miskin kerana mereka mempunyai makanan yang mencukupi di rumah tetapi kenyataan itu mengabaikan masalah malnutrisi yang dihadapi mereka dan potensi program makanan sekolah sebagai dasar untuk kebaikan negara.

Jika kita mengambil berat tentang masa depan anak kita, kita harus bertindak.

Keberkesanan dan kelestarian program itu memerlukan kerjasama semua kementerian yang berkaitan termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Di peringkat komuniti, pihak sekolah, ibu bapa, pakar pemakanan dan petani/pembekal makanan harus bekerjasama untuk memastikan kemampanan program.

Akhir sekali, pemantauan dan penilaian program mesti dilaksanakan untuk mengukur impaknya dan menambah baik program.

* Jarud Romadan Khalidi ialah penyelidik di Institut Penyelidikan Khazanah (KRI). Kajian bertajuk Understanding School Feeding in Malaysia boleh didapati di www.KRInstitute.org