‘Ka Ching’ buka bicara celik emas untuk Gen Z

Syed Muhammad Syah (kanan) semasa ditemubual oleh hos, Nabila Ahmad (kiri) bagi episod pertama 'Ka Ching'. Gambar kecil: Shahfizzam
Syed Muhammad Syah (kanan) semasa ditemubual oleh hos, Nabila Ahmad (kiri) bagi episod pertama 'Ka Ching'. Gambar kecil: Shahfizzam
A
A
A

SHAH ALAM - Sinar Harian memperkenalkan 'Ka Ching', sebuah program bual bicara kewangan baharu yang memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesedaran dan literasi kewangan dalam kalangan generasi muda.

Bagi episod pertama, 'Ka Ching' mengupas isu pelaburan dan simpanan emas sebagai langkah awal pengurusan kewangan yang bijak.

Program itu menampilkan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif GB Gold Malaysia, Shahfizzam Moideen bersama pempengaruh TikTok, Syed Muhammad Syah yang berkongsi pengalaman serta pandangan mereka mengenai kepentingan emas sebagai aset jangka panjang.

Menurut Shahfizzam, ramai golongan muda kini sudah mula membeli dan menyimpan emas namun masih kurang pengetahuan mengenai langkah seterusnya dalam pengurusan aset tersebut.

“Selepas membeli dan menyimpan emas, golongan muda perlu mempunyai ilmu emas. Ilmu itu penting supaya mereka tahu lokasi dan masa terbaik untuk ‘mencairkan’ emas bagi mendapatkan keuntungan,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, bagi golongan Gen Z yang mungkin beranggapan emas sukar dicairkan, nilai logam berkenaan kini menunjukkan peningkatan mendadak berikutan faktor ekonomi semasa, penyusutan nilai wang dan pengurusan tunai yang lemah.

“Pada tahun 2024, harga emas satu gram adalah sekitar RM300. Sekarang, harga emas mentah telah mencecah RM458 sekitar April 2025 iaitu perbezaan sebanyak RM150.

“Nasihat saya, bahagikan simpanan antara tunai dan emas. Gunakan emas hanya ketika benar-benar kecemasan, manakala kecemasan biasa boleh diselesaikan dengan tunai,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Muhammad berkata, setiap individu perlu memperuntukkan sebahagian gaji setiap bulan untuk menyimpan emas kerana ia merupakan pelaburan paling berbaloi.

Artikel Berkaitan:

“Jika gaji sehari RM50, mulakan simpan RM5 dengan memasukkan wang tersebut dalam sampul dan anggap ia seolah-olah tiada. Simpan mengikut bajet dan beli emas kecil seperti loket atau syiling.

“Dengan pembelian secara konsisten setiap bulan, simpanan emas akan terus meningkat. Nilai emas biasanya naik dalam jangka masa panjang, menjadikannya pilihan lebih baik berbanding skim pelaburan yang tidak menentu,” katanya.

Saksikan episod pertama 'Ka Ching' dengan imbas kod QR untuk video penuh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!