Syor SPRM agar kerajaan 'rampas' harta Daim tidak berasas - Peguam

SHAH ALAM - Peguam mewakili keluarga bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin menyifatkan cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar kerajaan melucut hak harta peninggalan tokoh politik itu sebagai tidak berasas dan bermotifkan politik.
Peguam, Rajesh Nagarajan berkata, tindakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang mencadangkan supaya kerajaan merampas aset milik Daim adalah sesuatu yang tidak mempunyai asas perundangan kukuh.
“Allahyarham tidak pernah disabitkan dengan sebarang kesalahan jenayah serius yang membolehkan harta beliau dilucut hak.
Berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada, sebarang tindakan lucut hak memerlukan sabitan atas kesalahan serius seperti yang termaktub di bawah Jadual Kedua Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA),” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Rajesh juga mempersoalkan tindakan SPRM yang mengumumkan perkara itu kepada media terlebih dahulu tanpa lebih awal memfailkan permohonan rasmi di mahkamah.
"Kami beranggapan langkah ini lebih menjurus kepada usaha mencemarkan nama baik Allahyarham Tun Daim dan keluarganya.
"Sekiranya benar terdapat asas undang-undang, mengapa tidak difailkan terus ke mahkamah? Mengapa perlu dijadikan isu umum tanpa sebarang tindakan sah di sisi undang-undang?” katanya lagi.
Beliau turut menyeru agar SPRM dan kerajaan menghentikan sebarang kenyataan berunsur politik yang boleh menggugat maruah individu serta waris masih hidup.
“Segala tindakan harus berpaksikan kepada lunas undang-undang dan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan nasihat sewajarnya,” tegasnya.
Terdahulu, Azam dalam satu kenyataan dilaporkan mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan tindakan melucut hak terhadap aset Daim yang didakwa tidak diisytiharkan kepada SPRM semasa siasatan dijalankan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

