Bekas pegawai kewangan didakwa pecah amanah lebih RM180,000

Seorang bekas pegawai kewangan sebuah syarikat penjualan bahan api kenderaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada Khamis atas pertuduhan pecah amanah membabitkan wang syarikat berjumlah RM182,884.02 tahun lepas. Gambar hiasan
Seorang bekas pegawai kewangan sebuah syarikat penjualan bahan api kenderaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada Khamis atas pertuduhan pecah amanah membabitkan wang syarikat berjumlah RM182,884.02 tahun lepas. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pegawai kewangan sebuah syarikat penjualan bahan api kenderaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan pecah amanah membabitkan wang syarikat berjumlah RM182,884.02 tahun lepas.

Siti Nurain Mohamad Ghazali, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan, Siti Nurain, sebagai pegawai yang diamanahkan untuk mengurus kewangan syarikat HDJ Oil Enterprise Kuala Lumpur, didakwa melakukan pecah amanah dengan mengambil wang pembayaran kepada pembekal berjumlah RM182,884.02 untuk kegunaan sendiri di stesen minyak Petron, Jalan Tun Razak, antara April hingga Disember 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, dengan sebat, dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amir Hanif Ahijman, menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin. Namun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan tidak berkemampuan.

“Saya mengalami masalah kemurungan sejak Januari lepas dan buat masa sekarang hanya suami yang bekerja. Selain itu, saya perlu menanggung tiga anak yang masih kecil. Jumlah jaminan RM30,000 agak tinggi untuk saya,” kata wanita itu.

Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Jun ini untuk sebutan semula kes. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!