Kebijaksanaan, kesabaran asas panduan penting dalam perbincangan Petronas-Petros

Wan Ahmad Fayshal
Wan Ahmad Fayshal
A
A
A

SHAH ALAM – Perbincangan antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak mengenai pengurusan sumber petroleum negeri itu memerlukan asas kebijaksanaan dan kesabaran demi memastikan perpaduan negara serta pembangunan jangka panjang tidak terjejas.

Ketua Hal Ehwal Luar Parlimen Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kenyataan umum yang dikeluarkan oleh kedua-dua pihak baru-baru ini berhubung status perbincangan tersebut berpotensi mencetuskan ketegangan yang tidak sepatutnya ketika rundingan penting masih berlangsung.

“Sekarang ini, lebih daripada sebelumnya, asas kepimpinan yang tenang dan matang amat diperlukan untuk mengemudi rundingan ini demi kepentingan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut laporan rasmi, Sarawak menyumbang kira-kira 28 peratus daripada jumlah pengeluaran petroleum negara pada tahun 2024, menjadikannya salah satu negeri paling penting dalam industri minyak dan gas Malaysia.

Sektor petroleum turut menyumbang hampir 15 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak.

Sementara itu, Ahli Parlimen Machang itu menegaskan bahawa deklarasi bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak merupakan satu langkah positif ke arah mewujudkan dialog yang lebih konstruktif dan adil.

“Semua pihak harus mematuhi semangat kerjasama dan saling menghormati yang menjadi teras kepada inisiatif ini,” ujarnya.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, isu utama kini ialah pelaksanaan konkrit perjanjian tersebut, terutama berhubung usaha mengharmonikan Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 dengan Ordinan Pengagihan Gas Sarawak 2016.

Artikel Berkaitan:

“Jika Petronas tidak lagi memerlukan lesen tetapi perlu mendapatkan pengecualian, mekanisme pelaksanaannya mesti jelas agar perjanjian itu bukan sekadar simbolik,” katanya.

Wan Ahmad Fayhsal juga mengakui bahawa aspirasi Sarawak untuk memiliki kawalan lebih besar terhadap sumber asli negeri adalah wajar dan harus dihormati.

“Keadilan pembangunan bagi negeri kaya sumber seperti Sarawak amat penting dalam memastikan sebuah persekutuan yang adil,” ujarnya lagi.

Menurut beliau, Petronas memainkan peranan strategik dan ekonomi yang kritikal bagi negara, justeru sebarang rangka kerja mesti kukuh dari segi komersial, perundangan dan teknikal demi memastikan kemampanan jangka panjang.

Beliau berharap kedua-dua pihak dapat mencapai perjanjian yang seimbang dan telus, yang memenuhi keperluan Sarawak, melindungi peranan Petronas serta memberi keyakinan kepada rakyat dan pelabur.

“Dengan niat baik dan kebijaksanaan, hasil yang menguntungkan kedua-dua pihak adalah mungkin, sekali gus mengukuhkan persekutuan dan memajukan Sarawak,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!