[VIDEO] Armizan nafi kerajaan hapus subsidi LPG

A
A
A

KOTA KINABALU - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, menepis dakwaan bahawa kerajaan telah menghapuskan subsidi gas petroleum cecair (LPG) kepada semua restoran yang menggunakan tidak lebih daripada tiga tong LPG.

Menurutnya, dakwaan Naib Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Junz Wong, disifatkan sebagai cubaan untuk mengelirukan rakyat mengenai isu subsidi LPG.

"Isu yang dibangkitkan sebenarnya merujuk kepada peraturan yang telah diwartakan pada tahun 2021. Peraturan itu menetapkan bahawa mana-mana pihak yang menyimpan LPG melebihi 42 kilogram, iaitu lebih tiga tong pada satu-satu masa, perlu memohon Permit Barang Kawalan (PBK)," katanya dalam sidang akhbar di Dewan Pisompuruan, Kampung Kobuni, Inanam, pada Jumaat.

Armizan berkata, sebagai wakil rakyat Warisan yang kini menganggotai kerajaan Persekutuan, adalah tidak wajar untuk mengeluarkan kenyataan yang boleh mencalar imej kerajaan sendiri.

"Kenyataan tersebut mengelirukan kerana ia bukan berkaitan dasar atau peraturan baharu di bawah pentadbiran kerajaan Madani, dan tidak melibatkan pemotongan subsidi seperti yang didakwa.

"Sebenarnya, ia berpunca daripada Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 yang telah berkuat kuasa sejak 15 Oktober 2021, semasa pentadbiran kerajaan terdahulu," katanya.

Armizan dalam sidang akhbar di Dewan Pisompuruan, Kampung Kobuni, Inanam, Kota Kinabalu.
Armizan dalam sidang akhbar di Dewan Pisompuruan, Kampung Kobuni, Inanam, Kota Kinabalu.

Armizan, yang juga Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), menyifatkan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan itu bermotif politik.

"Beliau menuduh kerajaan negeri dan GRS, serta mengaitkannya dengan Pilihan Raya Negeri (PRN), sedangkan isu ini berada di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menjelaskan bahawa dokumen yang dirujuk oleh ADUN Warisan itu bukanlah notis kesalahan atau kompaun, tetapi Kenyataan Pemeriksaan Premis, iaitu satu dokumen standard yang dikeluarkan oleh penguat kuasa KPDN semasa pemeriksaan rutin.

"Pemeriksaan ini turut meliputi pematuhan undang-undang berkaitan, seperti tanda harga, alat timbang sukat, dan Permit Barang Kawalan," katanya.

Menurutnya lagi, hanya premis perniagaan berskala besar yang berkemungkinan menggunakan atau menyimpan lebih daripada 42 kilogram LPG pada satu-satu masa.

"Saya tidak fikir kebanyakan kedai makan, apatah lagi gerai makan atau gerai Burger Ramly seperti yang disebut beliau, perlu menyimpan tong LPG melebihi had tersebut," katanya.

Armizan juga menegaskan bahawa Junz cuba memainkan sentimen kononnya beban kos akan dipindahkan kepada rakyat, tanpa menyatakan bahawa subsidi LPG itu sendiri datang daripada dana awam, iaitu wang pembayar cukai.

"Adalah tidak wajar untuk menjadikan wang rakyat sebagai penampung semua kos perniagaan, termasuk perniagaan berskala besar.

"Jika beliau ada maklumat tentang premis yang menggunakan LPG melebihi 42 kilogram pada satu-satu masa, sila maklumkan kepada saya. Kita boleh semak sama ada premis tersebut benar-benar menawarkan harga berpatutan kepada rakyat," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa subsidi LPG telah mencecah RM3.4 bilion pada tahun 2024.

"Ini adalah subsidi untuk kegunaan pengguna, bukan subsidi untuk perniagaan atau perdagangan," tegasnya.

Sebelum itu, dalam satu hantaran di Facebook milik Junz, beliau mendakwa bahawa kerajaan GRS–Pakatan Harapan (PH) telah melaksanakan dasar tidak mesra perniagaan di Sabah apabila menghapuskan subsidi LPG di restoran dan gerai yang menggunakan lebih daripada 42 kilogram LPG setiap bulan.

Dakwanya lagi, hal itu menyebabkan harga makanan telah meningkat secara drastik, terutamanya di restoran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!