Deklarasi Putrajaya-Sarawak: Petronas boleh diberi pengecualian lesen operasi

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg
A
A
A

SHAH ALAM - Petroliam Nasional Berhad (Petronas) akan diberi pengecualian lesen untuk menjalankan operasi di Sarawak susulan deklarasi bersama yang telah ditandatangani dengan Kerajaan Persekutuan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pengecualian akan diberi sekiranya Petronas membuat permohonan.

“Kita akan memberi mereka (Petrnas) pengecualian jika mereka memohon, namun mereka perlu memaklumkan kepada kita terlebih dahulu, kemudian kita memberi mereka pengecualian.

“Kita boleh memberi pengecualian (lesen operasi) kepada mereka kerana menerusi perjanjian ini semua pemegang lesen perlu ke Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) sebelum operasi dilaksanakan," katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, mengulas mengenai persefahaman yang dicapai menerusi Deklarasi Bersama Sarawak dan Kerajaan Persekutuan berhubung isu Petronas dan Petroleum Sarawak Berhad (Petris) yang ditandatangani beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya pada Rabu.

Abang Johari berkata, deklarasi bersama yang dimeterai merupakan bukti komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi pihak Kerajaan Persekutuan untuk menghormati aspirasi serta hak-hak Perlembagaan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

Jelas beliau, deklarasi bersama itu turut memberi penekanan bahawa pendirian Kerajaan Sarawak bahawa undang-undang Persekutuan dan Sarawak mesti wujud secara harmoni dan dihormati oleh semua pihak.

“Kerajaan Sarawak menyambut baik deklarasi bersama ini sebagai lambang yang jelas terhadap pengiktirafan dan rasa saling menghormati terhadap kerangka peraturan negeri, khususnya Ordinan Pengagihan Gas, 2016 (DGO 2016).

Artikel Berkaitan:

“Kerangka kerjasama ini bukan sahaja akan memberikan kepastian dan kejelasan kepada industri minyak dan gas di Sarawak, malah memperakui peranan PETROS sebagai agregator gas tunggal.

“Maka, semua pihak yang terlibat dalam perniagaan pemasaran, pengedaran dan pembekalan gas kepada pengguna di Sarawak hendaklah mematuhi DGO 2016,” tegasnya.

Sehubungan itu ujar beliau, Petronas perlu bekerjasama dengan Petros bagi projek-projek akan datang di Sarawak yang melibatkan rakan antarabangsa.

“Deklarasi bersama ini menunjukkan bahawa hak Sarawak dihormati dan kemajuan sebenar hanya dapat dicapai melalui kerjasama tulen dan kepercayaan bersama,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!